Rita Rudaini Mokhtar, 43, berkata, selepas dua tahun menguruskan kelab dia yang juga pengasas merangkap presiden, RR Cougars FF terpanggil untuk mencungkil bakat baharu bola sepak tempatan dalam kalangan pelapis muda.

Menurut Rita, dia telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith untuk merealisasikan projek terbaharunya itu.

"Saya telah mengadakan perbincangan bersama menteri di kementerian berkaitan dan membentangkan kertas kerja. Maklum balas daripada pihak kementerian amat baik.

"Sekiranya berjaya dilaksanakan kelak, kami bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama kelab bola sepak luar sama ada rakan serantau atau kelab di Eropah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media kejohanan RR Junior Cup 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.

Katanya, program realiti itu akan menyasarkan pencarian bakat muda dalam kalangan kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, kejohanan RR Junior Cup 2019 dijangka berlangsung pada 20 dan 21 Julai depan di Arena Bola Sepak Eco Ardence Setia Alam, Shah Alam di Selangor.

Memasuki tahun kedua penganjuran, kejohanan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah lapan tahun, 10 dan 12.

"Pada tahun ini kami menjangkakan penyertaan kelab bola sepak luar dari Korea dan Jepun. Kelab tempatan yang telah mengesahkan penyertaan antaranya dari Pahang dan Melaka," katanya. - K! ONLINE