Bukan filem biasa-biasa, Rise: Ini Kalilah yang dibintangi oleh pelakon berbilang bangsa seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Shashi Tharan dan Jenn Chia, melakonkan watak penting ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Ya, filem Rise: Ini Kalilah membawa penonton menelusuri kembali momen PRU14.

Momen yang mana rakyat Malaysia tidak kira umur dan berbilang kaum turun mengundi demi memilih kerajaan baharu.

Momen yang mana buat pertama kalinya, Malaysia bertukar tampuk kepimpinan baharu yang akan memerintah negara untuk lima tahun akan datang.

Suka atau tidak, perkara bersejarah itu yang diterjemahkan pengarahnya, Nik Amir Mustapha ke dalam naskhah Rise: Ini Kalilah.

Mira jadi sukarelawan

Ironinya filem yang turut mendapat sentuhan dua lagi pengarah iaitu Saw Teong Hin dan MS Prem Nath itu, bukan sebuah naskhah yang sarat dengan politik, sebaliknya berunsur drama mengenai enam watak dengan pelbagai ragam.

“Setiap pengarah menghasilkan dua karakter untuk filem ini. Saya menghasilkan watak Fizah (lakonan Mira Filzah) yang sanggup menjadi sukarelawan kepada rakan-rakannya di London. Kebetulan dia balik ke Malaysia untuk bercuti dan rakan-rakannya memohon bantuannya untuk mengirim kertas undi.

“Selain karakter Mira itu, saya juga menghasilkan karakter Selva (lakonan Shashi) yang membawa peranan sebagai ahli perniagaan yang tersepit dalam emosi kerana politik wang,” ujarnya yang memberitahu, pengarah Teong Hin dan Prem Nath pula menghasilkan dua karakter masing-masing.

Menariknya, filem terbitan WebTVAsia itu, turut mengadunkan kisah Sangeeta yang menjadi sukarelawan di pusat mengundi dan juga karakter lelaki Inggeris yang bertindak sebagai wartawan luar negara.

Sementara itu, aktor popular, Remy pula membawa watak polis yang terperangkap dalam dilema untuk melakukan apa yang betul dan apa yang terbaik untuk keluarganya.

Tiga bulan

Jujur kata Nik, bukan mudah untuk menghasilkan filem ini.

Ini kerana, filem berdurasi 100 minit itu perlu dihasilkan hanya dalam masa tiga bulan.

“Memang agak mencabar apabila saya dan dua pengarah lagi terpaksa menyiapkan filem ini dalam masa tiga bulan. Maka, kami ambil keputusan untuk fokus pada karakter masing-masing yang mana akhirnya bersatu di penghujung cerita,” ulas Nik mengenai filem yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 13 September itu.

Biarpun terpaksa bersengkang mata menghasilkan filem berkenaan, Nik lega dapat menghasilkan filem yang memaparkan seluruh rakyat malaysia itu.

“Rise: Ini Kalilah memaparkan semangat rakyat Malaysia yang sanggup meredah apa jua rintangan untuk turun mengundi. Maka, saya berharap semua orang dapat sama-sama menyaksikan filem berkenaan,” jelasnya lagi.

Inspirasi

Dalam pada itu, salah seorang pelakonnya Remy, mengakui seronok menjayakan watak polis bernama Azman yang banyak memberi inspirasi kepadanya.

“Watak Azman berhadapan dengan konflik apabila bertemu dengan rakan sekerja yang menyalahgunakan kuasa.

“Sejujurnya, menerusi watak ini saya belajar tentang prinsip dalam hidup yang mana kita perlu berpegang pada kejujuran, amanah dan keikhlasan,” ujar Remy.

Filem ini yang menjalani penggambaran di Malaysia, Singapura dan United Kingdom itu mengisahkan tentang enam individu yang berdepan dengan konflik dan akhirnya saling berkait antara satu sama lain demi PRU14.

Selain itu, filem itu turut dilakonkan oleh Sharifah Sakinah, Yana Samsudin, Datuk Jalaluddin Hassan, Tony Eusoff, Pushpa Narayan dan Sweet Qismina.