Masakan tidak, menghimpunkan 15 buah trek, boleh disifatkan album terbitan Republic Group itu antara album pop solo wanita yang paling sempurna terjemahannya tahun ini. Dari segi vokal, usah dipertikai ditambah lagi dengan pemilihan kesemua lagu yang amat menepati cita rasa ramai.

Mengikuti trend muzik pop masa kini dengan relevan, Grande berjaya membuktikan dia antara penyanyi wanita solo yang paling menyerlah terutama selepas peluncuran album keempatnya ini selepas tiga yang terdahulu, Yours Truly (2013), My Everything (2014) dan Dangerous Woman (2016).

Nuansa album dibuka begitu indah dengan lantunan vokal mengasyikkan menerusi trek berdurasi 37 saat berjudul Raindrops (An Angel Cried). Sebagai pemuja vokal Grande yang tegar, trek berkenaan sudah bisa membuat sesiapa yang dengar merinding.

Seperti album terdahulu, wanita berusia 25 tahun itu berkolaborasi dengan beberapa nama besar dalam industri muzik global. Kali ini, dia memilih Pharell Williams menerusi lagu berjudul Blazed, The Light Is Coming (featuring Nicki Minaj) dan paling unik trek berjudul Borderline (featuring Missy Elliot).

Blazed bukanlah trek pilihan penulis, namun The Light Is Coming yang telah dijadikan sebagai single promosi mempunyai sisi catchy yang bagus. Bordeline bagaimanapun tidak berapa mengena. Secara peribadi, ia sebuah karya bernuansa Hip Hop (dijentik dengan elemen pop) yang impaknya biasa-biasa sahaja walaupun bergabung dengan rapper hebat seperti Elliot.

Single kontroversi, God Is A Woman barangkali trek yang paling menyerlah dari segi komposisi muzik dan alunan vokal. Bagaimanapun, lagu tersebut mungkin tiada masalah untuk dimainkan secara bebas di bumi Amerika, namun di corong radio negara-negara lain seperti di Malaysia, ia berdepan masalah kerana nukilan lirik yang bersangkut dengan sentimen ketuhanan.

Komposisi melodi pop

Dalam satu sudut yang lain, ‘krisis’ tersebut juga berkemungkinan menjadi faktor pelaris untuk lagu itu terus menjadi buah mulut. Lihat sahaja sejarah keberkesanan lagu Born This Way dendangan Lady Gaga yang kononnya digam sesetengah negara, namun terjual di seluruh dunia dengan cemerlang.

Seperti manisnya judul album, single bertajuk Sweetener juga antara kegemaran penulis. Disuntik dengan elemen pop yang berkesan dari segi melodi, ia turut diperkuat dengan kemampuan vokal Grande yang mempesona.

Sebuah lagi trek pop yang memukau adalah Breathin. Dengan melodi yang catchy serta vokal berbisik, namun lantang Grande, ia mengingatkan penulis kepada kehebatan single daripada album terdahulu Dangerous Woman iaitu Into You.

Selain itu, Grande yang memberi sumbangan sebagai penulis terhadap hampir kesemua trek turut meluahkan rasa kasih sayangnya terhadap cinta hatinya iaitu Pete Davidson. Dalam trek istimewa berjudul Pete Davidson, dia memberi apresiasi kepada tunangnya itu melalui lagu berkenaan.

Trek terakhir, Get Well Soon ditujukan buat para peminatnya yang terkesan dengan kejadian letupan pada penghujung konsertnya di Manchester, England tahun lalu. Berdurasi selama 5 minit 22 saat, trek berkenaan menutup indah penceritaan Grande dalam karya kali ini.

Pada hemat penulis, lagu Get Well Soon paling menonjolkan vokal penyanyi yang mampu mencapai julat vokal 5-octave berkenaan. Barangkali emosi yang terjalin membuatkan Grande memberi sehabis baik terutama mengenang konsertnya pernah menyebabkan 19 nyawa terkorban akibat kejadian letupan bom terbabit.

Secara keseluruhan, kalau ingin dibandingkan dengan album Dangerous Woman, barangkali perlukan sedikit lebih masa untuk mendengar berulang kali trek-trek Sweetener yang mampu menjadi hit dalam kalangan pendengar. – MOHD. HAIKAL ISA