Mengambil semangat bersempena keberkatan Ramadan, Rendy atau nama sebenarnya Andy Baru Francis, 30, berkata, dia bersama kelab peminat Rendynatics bercadang menyalurkan kesemua sumbangan itu pada 20 Mei ini.

Menurut Rendy, rumah kebajikan yang dihuni kira-kira 80 kanak-kanak itu memerlukan bantuan berupa barang keperluan harian termasuk kelengkapan untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Jun depan.

"Kami telah menerima sumbangan untuk majlis beriftar bersama anak-anak ini pada 20 Mei ini. Namun, kami masih memerlukan barangan keperluan berupa makanan harian untuk diagihkan di rumah berkenaan.

"Antara barangan yang diperlukan seperti produk tenusu, Milo dan beras. Kami juga berharap ada pihak yang sudi menyumbangkan kelengkapan perayaan untuk anak-anak di rumah tersebut," kata pelantun lagu Kata Hatiku itu.

Rumah Titian Kaseh menempatkan 80 penghuni yang terdiri daripada anak yatim piatu dan ibu tunggal.

Mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan boleh menghubungi Sharifah di talian 019-645 5769 atau Linda di talian 012-991 6081. - K! ONLINE