Meskipun sedar usianya semakin meningkat dan ibunya amat berharap dia bertemu jodoh segera, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 37, tetap meraikan Aidilfitri seperti biasa. Pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu memberitahu, dia akan pulang beraya bersama keluarga di kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka.

Malah, ketika ditemui pada majlis pelancaran baju Melayu Minaz di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini, Remy mendedahkan bahawa dia sudah bersedia untuk menjawab segala pertanyaan andai ‘diserang’ soal jodoh oleh saudara-maranya apabila pulang beraya di kampung halaman nanti.

Kosmo!: Apakah persiapan raya yang telah disiapkan setakat ini?

Remy Ishak: Raya buat saya hanya sederhana sahaja. Sebelum ini, selama dua tahun berturut-turut saya membawa keluarga beraya jauh daripada hiruk-pikuk kampung atau kota iaitu dengan beraya di rumah inap desa (homestay). Tahun ini, saya dan keluarga akan beraya di Masjid Tanah, Melaka. Persiapan tidak begitu banyak, memadai memiliki beberapa pasang baju raya.

Boleh kongsikan apakah tanggungjawab wajib yang perlu anda lakukan setiap kali menjelang Aidilfitri?

Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Semuanya sudah besar-besar belaka. Jadi, kalau bercakap tentang tanggungjawab, itu lebih tertumpu kepada orang tua dan anak-anak buah. Setiap tahun baju raya anak-anak buah saya akan cuba belikan. Tahun ini disebabkan terlalu sibuk dengan kerja, perancangan untuk mengecat rumah di kampung juga tergendala.

Sudahkah anda bersedia untuk menjawab soalan-soalan berkenaan jodoh daripada saudara mara di kampung nanti?

Saya beri duit raya sahaja supaya mereka senyap daripada bertanyakan soalan-soalan tentang jodoh (ketawa). Sejujurnya, soal jodoh ini adalah perkara yang rumit. Insya-Allah, jika ada rezeki nanti, saya bawa isteri pulang ke kampung. Masalahnya, sekarang saya memang tiada isteri. Kira konsep raya tahun ini adalah bujang. Sebenarnya, ramai saudara-mara yang ingin memperkenalkan saya dengan wanita, tetapi soal hati bukan boleh dipaksa. Disebabkan karier saya sebagai seorang selebriti, terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi sebelum seseorang wanita itu ingin mengenali saya dengan lebih dekat.

Bagaimanakah dengan penerimaan ibu apabila melihat anda yang masih bujang pada usia hampir mencecah 40 tahun?

Semestinya ibu mahukan seorang menantu. Semua ibu mengharapkan perkara yang sama buat anak lelaki mereka. Saya pun sedar ibu semakin lama, semakin tua, tetapi saya memang tidak boleh berjanji. Tunggulah nanti jika ada kekasih atau wanita yang datang meminang (ketawa). Seperti yang dikatakan, soal hati dan perasaan bukanlah tentang berapa lama kita mengenali seseorang. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi bersama. Sukar ingin mencari seseorang wanita yang memahami kerjaya saya sebagai seorang anak seni kerana jadual kerjanya tidak menentu.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu karier seni?

Saya bakal muncul dengan sebuah filem aksi berjudul Sangkar yang akan ditayangkan di pawagam pada 29 Ogos depan. Selain itu, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Pujaan Hati Kanda edisi raya dan akan muncul dengan drama Keluarga Baha Don menerusi platform digital Over The-Top iaitu Viu. Bagaimanapun drama yang merupakan siri original Viu itu masih belum mempunyai tarikh siaran, berkemungkinan besar sekitar Jun atau Julai ini.

Ceritakan sedikit tentang penglibatan anda sebagai duta baju Melayu jenama Minaz?

Saya memang cerewet, sebelum ini ada sahaja jenama lain membuat tawaran serupa saya, tetapi kualitinya menghampakan. Hal ini kerana, saya seorang yang pentingkan kualiti dan pada masa yang sama perlu menjaga imej sebagai selebriti, Saya tidak mahu sekadar menjual baju Melayu bermusim. Saya suka dengan baju Melayu Minaz kerana keselesaannya.