Menceritakan tentang perkembangan terkini, Loque yang menerajui Monoloque memberitahu, kumpulan tersebut tetap hidup sehingga ke hari ini meskipun sedikit sibuk dengan komitmen masing-masing.

Kembali melayarkan cinta buat peminat, Monoloque kini muncul dengan sebuah album baharu berjudul Peristiwa Kampung Batu yang hanya boleh diperoleh secara digital.

Uniknya, menurut Loque, album tersebut menyaksikan perbezaan sejak dari awal pembikinan apabila dirakamkan di dalam sebuah rumah kampung yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur demi mencari kelainan dan kesegaran material yang bakal dipersembahkan.

“Rumah tersebut diubah menjadi seperti sebuah studio. Ini kali pertama kami menyuntik versi sebegini dan hasilnya sangat membanggakan. Jika diikutkan lagu-lagu dalam album tersebut sudah siap sejak dua tahun lalu tetapi mengambil masa yang lama untuk dilancarkan kerana melakukan proses suntingan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Dalam masa sama, Monoloque juga kini sedang giat mempromosi album mereka iaitu Jangan Puja Sampai Kecewa yang dihasilkan dalam bentuk piring hitam.

Album tersebut dicetak dalam kuantiti 300 unit sahaja dan kini hanya berbaki 50 unit belum terjual. Ia dijual pada harga RM149 seunit.

Jelas Loque, niat untuk menghasilkan album piring hitam sudah lama diangankannya dan menyedari bahawa permintaan peminat terhadap material yang bersifat sentimental tetap ada biarpun kurang meluas.

“Pendek kata kami mahu mengembalikan kegemilangan zaman album berbentuk fizikal kerana sekarang semuanya tentang digital. Penggunaan cakera padat (CD) juga sudah tidak relevan pada masa sekarang.

“Tetapi kami sedar, peminat piring hitam masih ada. Kadangkala mereka beli bukan untuk dengar, selalunya ia disimpan sebagai koleksi. Sebab itu kami keluarkan pun tidak banyak kerana ia sangat eksklusif,” jelasnya.

Semakin diterima

Tatkala berbicara tentang seni dan perjuangan muzik, satu hal yang menjadi identiti Monoloque adalah pemakaian tengkolok.

Tidak dinafikan, fesyen sebegitu mula mendapat perhatian daripada masyarakat yang menyifatkan ia sebagai satu gaya menarik untuk diketengahkan.

Bukan sekadar untuk fesyen, hakikatnya mereka mempunyai misi tersendiri iaitu mahu menyebarkan semangat berbangga dengan asal usul dan budaya dalam kalangan masyarakat.

Ia terbukti apabila pada Ramadan lalu, sebanyak 250 tengkolok berjaya dijual oleh Loque, sekali gus menyedarkan mereka tentang keterbukaan dalam soal fesyen dan imej klasik.

Seiring peredaran zaman, tengkolok yang digayakan telah dimodenkan dari segi corak, material dan gaya pemakaian supaya sesuai dengan stail masa kini.

“Budaya dan warisan ini kita punya, jadi saya mahu khalayak ada kesedaran. Kalau bukan kita yang menjaga dan meneruskan tradisi ini, siapa lagi.

“Bagi menyesuaikan dengan situasi, ia diberi sedikit suntikan moden dengan corak abstrak. Malah ia dijual dalam bentuk yang siap dijahit dan boleh dipakai tanpa perlu melilitnya sendiri. Biarpun cara pemakaian yang sebenar, ia perlu dililit terlebih dahulu,” jelas Loque.