Namun, jika difikirkan kembali, tiada yang mustahil jika usaha dan komitmen dalam meladeni kerjaya seni dilakukan dengan sepenuh hati.

Hal luar biasa tersebut merupakan manis realiti yang diraih oleh Ayda baru-baru ini.

Pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat itu berjaya melakar sejarah apabila persembahan konsert mini pertamanya yang diadakan dalam pesawat AirAsia AK5106 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah diiktiraf sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung Di Altitud Paling Tinggi (38,000 kaki di atas paras laut) oleh Malaysia Book Of Records.

Dihujani dengan perasaan teruja, penyanyi lagu Mana Ada Hati Yang Ingin Trus Disakiti menjelaskan, dia berasa sangat terharu dan berbangga kerana terpilih untuk menyanyi menerusi konsert mini tersebut.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak percaya dengan peluang yang diberikan oleh penganjur. Banyak lagi penyanyi yang bagus dan berpengalaman, tetapi mereka memilih saya untuk menyanyi.

“Saya berasa sangat bertuah,” ujar Ayda membuka bicara.

Dianjurkan sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MMM2019), Ayda berkata, dia berasa sedikit gusar pada awalnya memandangkan penumpang-penumpang pesawat terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Sebelum berlepas, saya agak risau. Maklumlah, mungkin mereka tidak tahu lagu yang akan saya nyanyikan.

“Ternyata, telahan saya silap apabila mereka yang berada dalam pesawat sukakan persembahan saya,” ujar Ayda lagi.

Menyanyikan tiga buah lagu iaitu Pencuri Hati, Xin Tai Ruan dan Temberang. Ayda turut mengucapkan terima kasih kepada anak kapal penerbangan AirAsia kerana cukup ramah dan bersifat terbuka ketika persembahan dilakukan.

“Saya rasa persembahan tersebut berjaya kerana anak kapal yang banyak membantu. Mereka juga menjadi penari latar saya!” katanya sambil tertawa.

Selain itu, kumpulan indie, Shadow Puppet Theatre turut membuat persembahan pada konsert mini tersebut dan berkongsi momen kejayaan itu bersama Ayda.

Selain penumpang yang berada dalam perut kapal terbang itu, konsert mini yang berdurasi sekitar 40 minit tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Ahmad Shah Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

Ayda turut menambah, penglibatannya dalam persembahan tersebut turut membuka dimensi baharu terhadap kerjaya seninya.

“Saya terharu kerana diberi kepercayaan terlibat menerusi percubaan mencipta rekod baharu. Saya kini sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Album dan konsert

Berjaya mencipta rekod rasmi dan peribadi sebagai antara penyanyi yang membuat persembahan di altitud tertinggi, Ayda turut menyimpan hasrat mengadakan konsert solo pada masa akan datang.

“Perancangan untuk mengadakan konsert sentiasa ada dalam fikiran. Tetapi, pada pendapat saya, untuk mengelolakan konsert bukanlah satu hal yang mudah.

“Saya memerlukan lagu yang banyak jika mahu merealisasikan sebuah konsert besar. Jika saya hanya ada enam atau tujuh buah lagu, susah untuk menghiburkan penonton dan peminat,” katanya jujur.

Jadi, bagi mencapai impian mengadakan konsert, Ayda memilih untuk memasarkan album studio penuh terlebih dahulu.

“Proses pembikinan album sudah 60 peratus siap. Mengikut jadual, saya akan memasarkan album tersebut selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Selepas album dilancarkan, saya sudah boleh merancang untuk mengadakan konsert. Ketika itu, saya sudah boleh menyanyikan lagu sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Menurut Ayda, album yang bakal diterbitkan tersebut bakal menampilkan dua sisi berbezanya sebagai seorang penyanyi.

Katanya, album berkenaan bakal terisi dengan 10 buah lagu. Lima daripadanya adalah lagu pop rancak dan selebihnya lagu-lagu balada.

“Uniknya, lagu-lagu pop rancak dibikin di Malaysia oleh komposer tempatan.

“Manakala lagu-lagu balada pula dicipta di Indonesia bersama komposer di sana,” ujarnya.

Dalam perancangan lain, Ayda dalam berhasrat untuk menerbitkan dua klip video secara serentak iaitu untuk lagu Mana Ada Hati Yang Ingin Trus Disakiti dan single terbaharu, Better Than You.

“Sebelum menanti pelancaran album tahun depan, saya akan menjalani penggambaran klip video bagi dua buah lagu secara serentak.

“Kedua-dua karya ini sungguh istimewa kerana jalan cerita bagi klip video berkenaan berkesinambungan antara satu dengan lain.

“Insya-Allah, sesi penggambaran klip video berkenaan akan bermula selepas saya selesai dengan penggambaran drama Cindai,” ujar Ayda menutup perbualan.

Ayda Jebat mencipta sejarah dengan membuat persembahan dalam pesawat yang terbang di ketinggian 38,000 kaki di atas paras laut.