Biarpun datang daripada latar belakang keluarga yang mempunyai pengaruh menerusi dua orang kakak tirinya, Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose, gadis tinggi lampai ini bagaimanapun lebih selesa keluar daripada bayangan populariti mereka.

Tidak pernah terlintas untuk menggunakan kesempatan yang ada bagi melonjakkan lagi namanya dalam dunia hiburan, Raysha mengakui, lebih suka berusaha sendiri membina nama tanpa bantuan sesiapa.

Meskipun begitu, dia tidak pernah mengenepikan nasihat dan pendapat Nelydia serta Uqasha yang lebih dulu menjadi selebriti cuma enggan dikenali sekadar sebagai adik mereka.

“Artis atau tidak, kami tetap adik-beradik jadi saya enggan kerjaya seni ini dimulakan dengan gelaran Raysha si adik Nelydia dan Uqasha. Mereka tetap mentor saya namun bukan lesen besar untuk bermegah dalam industri.

“Diakui nama saya masih tidak seberapa biarpun angka 2018 sudah masuk tahun kelima dalam industri tetapi apa yang penting, saya puas hati dengan usaha sendiri. Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh, biarlah perlahan tetapi atas keringat saya sendiri,” katanya usai ditemui pada majlis sidang akhbar drama saluran Hypp TV, Cintaku Di Bumi Izmir di D’Tahta, Shah Alam, baru-baru ini.

Tempias

Bergelar selebriti pastinya tidak terlepas daripada dihimpit kontroversi tidak kira besar atau kecil. Biarpun sehingga kini gadis berusia 22 tahun ini masih belum terpalit dengan mana-mana gosip liar, dia sudah mempersiapkan diri lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kata Rysha, sebaik sahaja dia membuat keputusan untuk bergiat aktif dalam dunia hiburan, segala kekurangan dan kelebihan perlu diterima dengan hati terbuka memandangkan itu pilihannya sendiri.

Namun bagi pelakon yang mulai menempa nama menerusi drama bersiri Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu, ada masanya dia menjadi individu yang dicari apabila ada gosip yang berkaitan dua orang kakaknya.

Menganggap itu lumrah kerana mereka bersaudara, Raysha berkata, dia banyak belajar daripada insiden yang menimpa dua kakaknya dan cuba mengambil pengajaran yang baik daripada kejadian tersebut.

“Saya okey sahaja apabila ada kes berkaitan mereka tetapi saya menjadi tempat pertanyaan. Saya memahami keadaan tersebut. Hubungan persaudaraan antara kami membuatkan saya menjadi antara sumber terdekat.

“Bagi saya, setiap manusia melakukan kesilapan. Mungkin sekarang masa mereka, esok lusa masa saya pula. Apa sahaja yang berlaku kepada mereka dijadikan iktibar dan saya ambil yang positif sahaja,” jelasnya.

Tertutup

Tambah pemilik nama Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu lagi, situasi depan mata juga menjadi antara faktor membuatkan dirinya mengambil pendekatan lebih tertutup terutama berhubung kehidupan peribadi.

Buktinya, biarpun umum mengetahui Raysha sudah enam tahun menjalin hubungan cinta dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jefri namun dia tidak begitu gemar memuat naik gambar berdua di media sosial.

Tempoh perkenalan sejak di bangku sekolah turut menjadikan Raysha berasa tidak perlu untuk terlalu menunjuk kepada khalayak tentang kebahagiaannya. Dia lebih suka kemas kini media sosial dipenuhi dengan hal kerja.

Mengakui beruntung kerana memiliki teman lelaki yang memahami dan tidak mengongkong, dia bagaimanapun menolak untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Kalau boleh, Raysha mahu kakak-kakaknya yang berkahwin terlebih dulu.

“Ada juga Nelydia dan Uqasha memberitahu, jika saya mahu kahwin dulu mereka tidak menghalang memandangkan saya sudah berteman dan mereka masih mencari. Namun, saya menolak kerana usia yang masih muda.

“Buat masa sekarang biarlah saya kukuhkan tapak dalam industri terlebih dulu baru fikirkan soal kahwin dan sebagainya,” tegasnya sebelum menyimpul perbualan.