Biarpun memiliki bakat yang luar biasa, tetapi untuk melepasi fasa tiga dekad dalam kerjaya penuh glamor ini bukanlah satu hal yang mudah.

Penyanyi yang berbakat dan kental sahaja mampu bertahan lama dalam bidang seni.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminduddin salah satu bintang yang berjaya membina jenama sebagai ikon rock wanita tersohor di Nusantara. Justeru, beliau telah dipilih untuk menerima penghargaan sebagai Ikon Selebriti The Brandlaureate.

Wanita berusia 52 tahun itu menerima pengiktirafan tersebut pada majlis Anugerah The Brandlaureate anjuran Asia Pacific Brands Foudation (APBF) kerana kejayaannya mengekalkan jenama Ratu Rock negara selama tiga dekad.

“Alhamdulillah, ia adalah satu penghargaan amat besar buat saya kerana anugerah ini telah dihakimi oleh orang-orang yang sangat berpengalaman dalam industri.

“Terpilih sebagai Ikon Selebriti The Brandlaureate membuatkan saya mahu terus menghasilkan karya yang bermutu, sedap dan malar segar untuk peminat” katanya yang ditemui usai anugerah yang diadakan di The Majestic Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyambung bicara, pelantun lagu Layar Impian itu sempat diusik soal pengiktirafan lain antaranya gelaran Datuk.

Sambil tertawa, Ella mengakui tidak pernah terfikir untuk mendapatkan gelaran berkenaan, namun tidak menolak sekiranya diberi peluang.

Ella bagaimanapun beranggapan gelaran Ratu Rock yang diberi kepadanya juga satu pengiktirafan besar.

“Gelaran dan pangkat sebenarnya tidak penting, tetapi tidaklah saya menolak sekiranya diberi peluang untuk mendapat penghargaan berkenaan (pangkat Datuk).

“Pada saya, sokongan tanpa henti daripada peminat merupakan pengiktirafan paling tinggi. Tambahan pula, gelaran Ratu Rock yang diberikan juga cukup besar buat saya.

“Mungkin nampak kecil, tetapi bukan mudah untuk orang beri gelaran tersebut dan ia hadir dengan tanggungjawab yang berat,” terangnya panjang lebar.

Kerjasama suami

Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Ella memberitahu beliau masih dalam rangka promosi album Peace.Love.Rindu. Menurutnya, biarpun album berkenaan sudah dilancarkan sejak penghujung tahun lalu, namun disebabkan jadual kerja yang padat rangka promosi terpaksa dijalankan secara berperingkat.

Dalam pada itu, Ella juga gembira kerana single duetnya bersama suami tercinta, Azhar Ghazali berjudul Peace.Love.Rindu semakin diterima peminat.

“Saya melancarkan sebuah album penuh, jadi rangka promosi untuk album berkenaan perlu dibuat secara berterusan. Saya bersyukur kerana album tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila laris dijual secara fizikal dan menerusi platform digital.

“Lagu duet saya bersama suami juga semakin diterima baik peminat. Paling terharu apabila peminat kecil juga menyanyikan lagu tersebut. Jika tiada halangan, tidak lama lagi saya dan suami akan menjalani sesi penggambaran klip videonya pula,” terang Ella seraya menutup bicara.