Ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu produk bayi jenama Nuna di The Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, pemilik nama Ros Ramona Qadira Mohd. ZamZam memberitahu, keputusan untuk aktif semula turut disokong oleh suaminya, Rami Alashkar.

Biarpun terbit sedikit rasa bersalah kerana perlu berjauhan dengan anaknya, namun Ramona, 29, akur dengan cabaran yang perlu ditempuhinya apabila bekerja semula.

Sudah terbiasa bekerja sejak usia remaja, Ramona mengakui, perasaan rindu pada dunia lakonan begitu menebal sekali gus mendorongnya untuk kembali aktif sebagai pelakon.

KOSMO!: Bagaimanakah kehidupan anda selepas bergelar ibu?

RAMONA: Alhamulillah, sangat hebat dan tidak terasa sebenarnya sudah setahun enam bulan saya membesarkan Ivanna. Sejak hamil hingga sekarang, memang perhatian dan masa diberi kepadanya kerana dia cahaya mata pertama, jadi saya memerlukan ruang untuk belajar tentang dunia keibubapaan. Ivanna sudah pun berhenti menyusu badan sejak dia melepasi umur setahun, jadi saya akan berlakon semula.

Siapakah yang akan menjaga anak apabila anda keluar bekerja?

Saya sudah mula menghantarnya ke pusat asuhan atau taska sejak tiga minggu lalu bagi membiasakan Ivanna dengan persekitaran baharu. Pada mulanya, dia menangis apabila dihantar ke taska, tetapi sekarang sudah okey. Mungkin dia juga sudah seronok berkawan di sana.

Apakah perasaan anda saat pertama kali menghantar anak ke taska?

Sangat gelisah, bimbang dan pelbagai perasaan bercampur aduk. Namun, saya perlu kuatkan diri kerana mahu bekerja semula. Mungkin ada yang berpendapat saya mementingkan diri kerana sibuk mahu bekerja semula, tetapi bagi saya bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa tidak menjadikan nilai seorang ibu itu berkurangan.

Adakah suami anda menyokong keputusan untuk kembali aktif berlakon?

Ya, suami saya bukan seorang yang suka mengongkong atau menentukan apa yang perlu saya lakukan dalam hidup. Dia tahu saya sayangkan kerjaya dan tidak pernah menghalang saya bekerja meskipun selepas mempunyai anak. Saya berehat setahun lebih sebelum ini atas pilihan sendiri, jadi apabila saya beritahu ingin bekerja semula, suami tiada bantahan, sebaliknya menyokong apa yang boleh menggembirakan saya.

Sudahkah anda menerima tawaran untuk projek baharu?

Saya baru sahaja hendak menghubungi semula rakan-rakan pengarah dan penerbit untuk memaklumkan saya kini sudah bersedia dan mahu berlakon semula. Saya rindu untuk berada di set penggambaran terutama bagi projek drama bersiri.