Dalam serius menjawab setiap soalan yang diajukan, secara spontan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 37, akan menyelitkan lawak yang membuatkan orang di sekelilingnya ketawa bagai seorang pelawak profesional.

“Saya memang begini, suka melawak. Jika terlalu serius nanti orang bosan dan tidak seronok,” kata PU Azman memulakan bicara.

Biarpun begitu, proses membina jenama PU Azman yang dikenali hari ini bukan mudah. Meski bergelar juara program Pencetus Ummah musim kedua pada Disember 2014, lelaki yang bermula sebagai penceramah biasa itu tercari-cari formula yang tepat untuk menarik golongan muda dalam dakwahnya.

“Selepas membuat kajian, saya dapati kuasa laman sosial cukup besar. Saya ikuti budaya dan lenggok bahasa orang muda yang biasa digunakan dalam laman sosial.

“Maka timbul idea untuk menyampaikan dakwah yang ada nilai keremajaan dan hiburan kerana itulah minat golongan sasaran saya iaitu remaja. Alhamdulillah, ia berjaya menarik minat mereka,” katanya yang belajar di Mesir dalam bidang syariah selama 11 tahun.

Meskipun jawapan yang diberikan kadangkala tidak masuk akal, kasar dan mengundang tawa, tetapi mesej yang hendak disampaikan diterima dengan jelas serta mudah difahami semua golongan.

Namun, bukan semua pihak menyenangi caranya yang bukan sahaja lantang, tetapi juga sering membawa kepelbagaian pendapat dalam menyampaikan dakwah.

“Barangkali ada sesetengah pihak yang belajar bidang agama, tidak setuju dengan cara saya. Ada juga orang yang benci kerana kelantangan saya dalam membuat teguran.

“Saya tidak boleh halang untuk orang membenci kerana setiap orang mempunyai fikiran yang berbeza. Hari ini, suka atau tidak saya harus mengikut peredaran masa.

“Dunia remaja sekarang semuanya di hujung jari. Jika saya buat ceramah biasa belum tentu mereka hadir. Berbeza dengan takzirah yang saya buat di Instagram Live, mereka menunggu dan siap sedia dengan soalan. Bagi saya, itu permulaan yang baik,” ujarnya yang merupakan seorang pemidato sejak sekolah.

Popular

Populariti PU Azman memuncak pada awal tahun ini apabila paparan skrin soal jawabnya dengan orang ramai menjadi tular. Impaknya dalam tempoh beberapa hari sahaja, jumlah pengikut Instagram PU Azman meningkat daripada 60,000 kepada 686,000.

Walaupun terkejut dengan peningkatan tersebut, PU Azman masih tidak merasakan dirinya popular. Begitu naif, dia meletakkan nombor telefon peribadi di akaun Instagram dengan niat untuk memudahkan sebarang pertanyaan berkaitan agama daripada netizen.

Natijahnya, dia menerima ‘serangan’ soalan bertalu-talu tanpa henti daripada netizen sehingga lewat pagi. Biar menerima pelbagai soalan termasuk yang merapu, PU Azman cuba menjawab setiap soalan mengikut kemampuannya.

“Dulu saya masih boleh mengawal keadaan, sekarang di luar kemampuan saya. Tidak tidur malam jadinya jika menjawab soalan satu Malaysia (ketawa). Jadi sekarang saya hanya menjawab soalan menerusi Instagram Live dan e-mel,” tuturnya jujur.

Kerajinan PU Azman mengikut trend semasa juga dilihat sebagai penyumbang kepada popularitinya. Terbaharu, dia turut melakukan cabaran fenomena seperti #KekeChallenge, namun diolah supaya ada nilai motivasi dan Islamik.

Bercakap lanjut tentang populariti, jelas PU Azman, dia menggunakan program Pencetus Ummah sebagai medium untuk berdakwah dan sedar akan dikenali ramai kerana ia disiarkan di kaca televisyen.

“Tipulah kalau saya kata masuk Pencetus Ummah tetapi tidak mahu popular. Sudah tentu keluar di televisyen orang akan kenal.

“Cuma apa niat seseorang pendakwah itu. Semata-mata mahu popular atau mahu menggunakan populariti itu untuk memudahkan lagi proses dakwah? Popular kalau digunakan dengan cara baik, maka baiklah hasilnya,” ujarnya yang bakal mengeluarkan produk pakaian di bawah label PUman.

Berlakon

Satu hal yang mengejutkan tentang PU Azman yang juga sahabat baik pelawak dan pengacara Johan, dia amat meminati bidang lakonan.

Malah sehingga kini, PU Azman telah membintangi lapan buah drama. Bermula dengan pelakon tambahan sebagai ustaz dalam drama Bila Hati Telah Hitam, PU Azman kini mahu serius mendalami bidang lakonan.

“Saya bersyukur kerana Allah membuka tingkap-tingkap rezeki yang lain dalam industri seni seperti lakonan. Saya tidak kisah jika orang kecam atau mempersoalkan seorang ustaz ingin berlakon kerana sudah minat.

“Selama ini saya hanya membawakan watak ustaz. Namun, saya ada memberitahu pihak produksi teringin membawa watak berbeza seperti anak derhaka atau antagonis. Saya tidak minta untuk jadi hero (ketawa).

“Asalkan tidak ada berpegang-pegang dengan pelakon wanita, saya terbuka soal watak,” tuturnya yang berstatus duda tanpa anak.

Menurutnya, ketika remaja dia tidak berminat untuk belajar agama sebaliknya, hanya mengikut permintaan arwah ibu, Allahyarham Fatimah Taat untuk belajar di Maahad Ahmadi, Gemencheh Negeri Sembilan.

Minat mendalami bidang agama berkembang seiring dengan waktu, tetapi dalam masa sama, dia tidak pernah melupakan minat untuk berkecimpung dalam bidang seni.

“Saya suka bercakap dari zaman sekolah. Sebab itu saya pernah bercita-cita untuk menjadi pembaca berita, pengacara televisyen dan juga pelakon. Syukur rezeki ke arah lakonan semakin terbuka,” ujarnya yang turut terlibat dalam program Jozan Live.

Menyentuh tentang sambutan Aidiladha hari ini, PU Azman yang merupakan penggemar program American Got Talent dan filem seram itu tidak pulang ke kampung halaman di Rantau, Negeri Sembilan kerana terikat dengan komitmen kerja.

Baginya itulah pengorbanan kecil yang perlu dibayar apabila bergelar seorang pendakwah dan orang seni. Kerja sering menjadi keutamaannya berbanding masa bersama keluarga.

“Malam raya saya akan bersiaran langsung dengan Jozan Live, kemudian terus ke Kedah untuk penggambaran drama Lelaki Kiriman Tuhan.

“Jadual saya memang sangat padat, tetapi ini hanya pengorbanan kecil, orang lain mungkin lebih besar. Saya sudah terbiasa raya sendirian selepas 11 tahun tinggal di Mesir namun, pasti terasa sunyi kerana rindu pada arwah ibu yang meninggal dunia pada tahun lalu,” luahnya yang bakal mengeluarkan buku tidak lama lagi.

Biar terasa penat dengan kepadatan jadual kerjanya, PU Azman menikmati semua peluang dan rezeki yang diberi kepadanya. Tidak merungut, sebaliknya lelaki berkulit putih itu bersyukur dengan laluan kariernya yang bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, namun dalam masa sama, PU Azman turut mengumpul ‘saham’ peribadi sebagai bekalan akhirat.