PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi, 25, berkata, dia menyesal dengan perbuatannya itu dan menganggap dirinya telah terlanjur kerana melafazkan talak terhadap Ain Afini pada Mac lalu.

Menurut PU Abu dia bersedia untuk bersemuka dengan bekas isterinya demi membincangkan hal selanjutnya berkaitan isu perceraian antara mereka.

"Saya memohon maaf di atas kesalahan menceraikan isteri saya ketika mengandung dan amat menyesali keterlanjuran saya lakukan.

"Saya meminta maaf kepada bekas isteri dan keluarga kerana bersikap tidak adil terhadap mereka," katanya di laman Instagram @cianmokhtar hari ini.

Namun tinjauan Kosmo! Online di laman Instagram  @cianmokhtar mendapati kiriman itu telah dipadam.

Dalam kiriman yang sama, PU Abu turut merayu kepada netizen untuk menghentikan kecaman terhadap pihak yang tidak terlibat secara langsung atau langsung atas perbuatannya itu.

Tambahnya, dia bersedia memikul tanggungjawab atas kesalahannya dan mendapat balasan yang setimpal pada masa akan datang.

Pada Jumaat lalu tular di media sosial perkongsian Ain Afini bahawa dia telah diceraikan oleh PU Abu menerusi aplikasi WhatsApp.

Penceraian itu mengundang kecaman bukan sahaja kerana Ain Afini hamil tujuh bulan, malah diceraikan kerana keinginan PU Abu berkahwin dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

Semalam Kosmo! melaporkan PU Abu enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi itu, namun akan membuat kenyataan media pada 24 atau 25 April ini.

Bekas peserta Pencetus Ummah musim ketiga itu kini berada di Mekah atas urusan kerja. - K! ONLINE