Isu penting yang dibangkitkan adalah hala tuju Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), khususnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai badan kerajaan yang bertindak sebagai pemudah cara industri kreatif.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latif Rosli berkata, sejak pertukaran kepimpinan pada tahun lalu, sehingga kini masih tidak ada strategi dibentangkan oleh pihak KKMM atau Finas berhubung hala tuju industri kreatif.

“Diharapkan juga Finas dapat menyelesaikan masalah dalaman dan mengelak dari sering bertukar kepimpinan kerana tugas utama Finas adalah pemasaran, 

“Kami berharap Finas juga dapat menyelesaikan masalah dalaman dan mengelak dari sering bertukar kepimpinan kerana tugas utama perbadanan tersebut adalah pemasaran serta pembangunan modal insan dalam memacu pembangunan industri. Kelancaran misi tersebut sering terganggu oleh pertukaran jawatan-jawatan kanan,” jelas Jurey kepada Kosmo!

Finas kini masih disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ketirisan dana berjumlah RM25 juta.

Isu lain yang dikemukakan dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana tersebut termasuklah kajian semula had cipta atau hak siaran kandungan program daripada menjadi milik sepenuhnya stesen televisyen, mewujudkan konsortium bagi menyelenggara pemberian peruntukan jam kandungan siaran kepada syarikat penerbitan, kenaikan kadar harga pembelian kandungan program televisyen, syarat patuh syariah pinjaman bank untuk pinjaman penerbitan program dan cadangan sekatan pengeluaran lesen penerbitan televisyen oleh Finas bagi memastikan hanya syarikat berdaya saing serta berkemampuan diberi kontrak.

“Kami juga mohon peruntukan dalam bajet tahunan bagi industri dan penggiat seni kreatif. Setiap tahun Menteri Kewangan akan menyediakan bajet tahunan kerajaan dan sehingga kini sudah tiga tahun pihak kandungan kreatif sering dilupakan dan tidak termasuk dalam senarai untuk peruntukan,” tambah Jurey.

Pertemuan bersama lapan orang wakil PTVM selama lebih sejam tersebut mendapat respons positif daripada Tun. Untuk rekod, Tun dilantik sebagai penaung PTVM semenjak 11 Ogos 2014. Menerusi kepimpinan sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, Tun antara orang penting dalam  penubuhan Finas pada tahun 1981. - K! ONLINE