Bersemangat dan mempunyai misi membawa naskhahnya ke suatu ruang yang mampu ‘memberi’, Zulkarnain yang ditemui Kosmo! ketika penggambaran filem berkenaan di Pertubuhan Arkitek Malaysia berkongsi harapannya untuk menghasilkan sebuah karya berlainan daripada apa yang sering dipaparkan waktu ini.

“Sebenarnya, isu jenayah siber semakin berleluasa bukan sahaja di luar negara, malah di Malaysia. Bayangkan, kalau dulu emas dan minyak antara perkara berharga dalam dunia tetapi sekarang data atau siber adalah perkara yang paling penting serta berkuasa.

“Sebagai contoh, sesebuah syarikat atau negara boleh musnah begitu sahaja dengan idea licik siber dan boleh kerugian banyak wang. Caranya mudah, dengan jenayah siber,” kata pengarah tersebut.

Ditanya apakah resipinya untuk merealisasikan filem terbabit dengan sebaik mungkin, Zulkarnain mengharapkan beberapa aspek dapat diadun kemas seperti masa dan elemen hiburan yang lengkap.

“Genre filem seperti ini adalah sesuatu yang asing. Di Hollywood, ia baru hendak berkembang, apatah lagi di Malaysia. Apa pun, pembikin perlu bijak menggabungkan elemen suspen dan hiburan dengan baik.

“Seperkara lagi, masa ia hendak ditayangkan perlulah sesuai. Saya tidak mahu filem ini bertembung dengan filem-filem blockbuster Hollywood lain seperti daripada Marvel dan sebagainya,” ujarnya.

Penggodam sebenar

Dalam pada itu, Zulkarnain turut mendedahkan bahawa dia membuat beberapa rujukan termasuk ‘bekerja’ dengan penggodam sebenar demi menjayakan filem arahannya tersebut.

“Filem ini pastinya akan menggunakan banyak teknik penjanaan komputer (CGI). Bagaimanapun, saya akan cuba meminimumkan penggunaan teknologi tersebut dan bekerja dengan lebih praktikal.

“Saya juga ‘bekerja’ dengan penggodam sebenar untuk menjayakan filem ini. Banyak perkara yang perlu diketahui tentang jenayah siber atau ‘kerjaya’ penggodam dan ia akan dibongkar dalam filem Proksi ini,” jelasnya.

Mengakui Proksi sebagai filem yang sangat mencabar, Zulkarnain juga melengkapkan dirinya dengan maklumat berkenaan penggodam. Ia penting bagi memberi jiwa kepada filem berkenaan.

Menariknya, filem diberi tajuk Proksi itu membariskan bintang-bintang handalan negara seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha, Ashraf Sinclair, Bront Palarae, Remy Ishak, Sangeeta Krishnansamy, Susan Lankester dan Adrianna Qasmina.

Filem tersebut berkisarkan tentang kehidupan seorang penggodam bernama Aman (Ashraf Sinclair) dan rakannya, Sam (Bront Palarae) berusaha menyelamat data dan maklumat rahsia negara daripada ancaman siber.

Menjadi filem pertama di Malaysia yang berkisarkan jenayah siber berbentuk aksi, Zulkarnain berharap naskhahnya dapat ditonton segenap lapisan masyarakat bagi membentuk kesedaran jenayah siber.