Pendapat tersebut disuarakan Faizal, 42, selepas seorang pengikut laman Instagramnya mendedahkan dia telah menerima panggilan daripada stesen radio Hot FM.

Wanita tersebut memberitahu, individu yang menghubunginya memperkenalkan diri sebagai rakan Faizal yang bekerja di stesen radio berkenaan sebelum meminta butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat rumah.

Menegaskan beliau tidak lagi bekerja di bawah mana-mana stesen radio, Faizal meminta agar semua pihak berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan butiran peribadi kepada orang yang tidak dikenali.

Ikuti penjelasan Faizal mengenai perkara tersebut ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

KOSMO!: Faizal ada berkongsi tentang seorang pengikut di Instagram yang menerima panggilan palsu menggunakan nama anda.Boleh kongsikan mengenai perkara tersebut?

FAIZAL ISMAIL: Sejujurnya sewaktu mendapat kiriman mesej tersebut, saya sangat terkejut kerana suspek menggunakan nama saya dan mengaitkan dengan stesen radio Hot FM. Hal seumpama ini pertama kali berlaku dan saya sudah berpesan kepada mangsa bahawa panggilan palsu sebegitu adalah taktik scammer. Saya difahamkan wanita tersebut sudah membuat laporan polis kerana dia telah memberi segala maklumat peribadi kepada scammer berkenaan.

Apa pendapat anda mengenai program panggilan palsu yang dilihat sudah tidak relevan kerana scammer yang berleluasa?

Bagi saya program panggilan palsu sudah tidak relevan pada zaman sekarang dan hanya sesuai pada waktu ia mula diperkenalkan sekitar 10 tahun lalu. Berbanding dengan sekarang, kita sangat terdedah dengan risiko kebocoran data peribadi oleh sindiket yang melakukan penipuan. Contoh sudah ada dan ia berlaku pada saya sendiri. Sebolehnya, program panggilan palsu perlu dihentikan dan digantikan dengan program hiburan lain yang lebih selamat.

Adakah anda sendiri pernah menjadi mangsa panggilan palsu?

Pernah dan ia berlaku lebih sebulan yang lalu. Panggilan tersebut katanya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi apa yang membuatkan saya pelik adalah suara operator yang digunakan pada ketika itu menerusi mesin. Mujurlah saya mempunyai rakan yang bekerja di SPRM dan dia memberitahu bahawa agensi berkenaan sama sekali tidak akan membuat sebarang panggilan kepada mana-mana individu dengan cara sebegitu.

Apakah perkembangan program DBilique yang dikendalikan anda?

Alhamdulillah, semakin hari ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Cuma buat masa ini, tumpuan kami lebih kepada perkhidmatan untuk pelanggan atau agensi yang berbayar.

Slot komersial masih ada dan bersiaran setiap malam Rabu, tetapi tidaklah sekerap dahulu. Saya sangat gembira dengan perkembangan projek ini sebab daripada sekadar suka-suka, sekarang sudah menjadi sebuah saluran digital yang dipercayai.

Peningkatan jumlah tontonan tidaklah mendadak, tetapi ia semakin meningkat. Biasanya jumlah tontonan meningkat apabila kami menjemput artis.

Contohnya baru-baru ini saya kebetulan bertemu dengan penyanyi Linda Nanuwil.

Tidak sangka ia mencatat lebih 200,000 tontonan. Mungkin kerana dia juga sudah lama tidak muncul, jadi peminat ingin tahu tentang perkembangannya.

Selain program tersebut, apakah perancangan lain anda?

Saya baru saja selesai menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) dan menjadi ikon pameran berkenaan untuk tahun ini.

Pada masa sama, saya juga diberi peluang untuk memasarkan produk sendiri iaitu makanan sejuk beku eFbi. Jadi penjenamaan diri saya sebagai seorang usahawan akhirnya mula menampakkan hasil. Boleh dikatakan, tahun ini kedua-dua projek yang saya usahakan iaitu FBI Live dan perniagaan makanan berkembang baik. Insya-Allah saya mengharapkan perkara lebih baik untuk tahun depan.