Namun, perkara tersebut tidak mematah semangat mereka untuk terus menghasilkan karya yang bukan hanya bermotifkan kutipan lumayan.

Atas pendekatan tersebut, aktor popular, Remy Ishak tidak memandang serius terhadap perbezaan jumlah kutipan filem lakonannya, Pulang berbanding karya lain terutamanya Hantu Kak Limah yang mendapat kutipan RM35 juta berbanding naskhah Pulang sekadar RM1.8 juta.

Angka tersebut antara lain meletakkan ukuran bahawa filem komedi lebih mendapat perhatian berbanding naskhah berdasarkan kisah benar seperti kelana seorang kelasi kapal dalam Pulang.

Katanya, setiap individu mempunyai kehendak tersendiri dan sudut pandangan berbeza dalam menilai kekuatan sesebuah naskhah layar perak.

“Bagi penonton yang lebih gemarkan filem bercorak santai, kecenderungan mereka lebih ke arah tersebut berbanding naskhah berat sehingga memerlukan penonton berfikir.

“Mungkin sekarang filem berat kurang mendapat sambutan berbanding karya yang lebih santai. Namun, mungkin pada masa akan datang, cita rasa penonton akan berubah dan memberi respons positif terhadap filem berat sama seperti naskhah santai,” terang pelakon kelahiran Melaka itu.

Bukan sekadar filem berbentuk santai berjaya mencuri tumpuan khalayak, tetapi karya yang mempunyai nilai patriotisme seperti Ola Bola juga berjaya mencatat kutipan sebanyak RM16.6 juta menerusi tayangan pada tahun lalu.

Justeru, bagi Remy, keadaan tersebut tidak memberi sebarang tekanan untuk lebih memberi fokus terhadap karya yang berpotensi mengaut lebih keuntungan atau sebaliknya.

“Kadangkala kita menilai sesebuah karya akan dapat dijual (diterima penonton) tetapi penerimaan sebaliknya yang berlaku. Jadi, sebagai pengkarya, keuntungan bukan sasaran utama untuk menghasilkan karya berkualiti kepada khalayak,” terangnya yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem baharu, Rise Ini Kalilah.

Mengulas mengenai filem yang bakal menembusi panggung bermula 13 September ini, naskhah tersebut disifatkan lebih menjurus ke arah meraikan jiwa patriotisme rakyat berbanding isu politik.

Remy mengakui memberi penekanan terhadap hala tuju naskhah tersebut agar tidak terpesong ke satu arah sahaja.

Nilai patriotik

Pemilik nama lengkap Muhammad Zalimei Ishak itu menambah, penceritaan Rise Ini Kalilah lebih fokus mengenai refleksi rakyat terhadap persekitaran politik masa kini.

“Saya tidak melihat filem Rise Ini Kalilah cenderung ke arah politik. Ini kerana filem berkenaan lebih bercerita tentang rakyat yang berdepan permasalahan sistem negara.

“Sebagai pelakon saya perlu bersikap profesional dan tidak perlu menonjolkan sokongan terhadap mana-mana parti. Pada saya, ia merupakan rahsia yang hanya diketahui oleh diri sendiri.

“Jadi, perkara tersebut tidak perlu didedahkan atau dipamerkan secara ketara terutamanya individu terlibat dalam bidang seni seperti saya,” jelas Remy yang membawakan watak sebagai anggota polis bernama Azman dalam filem berkenaan.

Meskipun sedar setiap individu mempunyai perspektif tersendiri, Remy tetap optimis dan berharap karya berkenaan tidak dilihat sebagai salah satu agenda politik. Dia sebaliknya lebih selesa jika khalayak lebih memberi fokus terhadap semangat patriotisme yang ditonjolkan dalam filem berkenaan.

Rise Ini Kalilah merupakan karya garapan oleh tiga orang pengarah iaitu Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha dan Prem Nath.

Antara pengisiannya, Rise Ini Kalilah menekankan tanggungjawab mengundi sewaktu pilihan raya dalam kalangan rakyat Malaysia, pada masa sama, ia mencerminkan keharmonian perpaduan kaum masyarakat Malaysia, sekali gus menjadi aset negara yang tidak ternilai.