Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh Adi Priyo menerusi single solo terbaharunya, Aku Cinta Mati. Menurut Adi yang juga vokalis kumpulan 6ixth Sense itu, tidak banyak yang ingin diluahkan dalam lagu berkenaan melainkan nilai-nilai positif dan kasih sayang.

“Bagi projek solo kali ini, saya memilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang mudah untuk diterima dan tidak sukar dinyanyikan. Dalam erti kata lain, lebih pada genre akustik.

“Lagu Aku Cinta Mati contohnya kedengaran sedikit berbeza dengan lagu-lagu 6ixth Sense sebelum ini. Hal ini kerana, lagu tersebut mengangkat tema kasih sayang secara universal dan bukan tentang pasangan bercinta semata-mata,” ujar Adi ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video lagu berkenaan di ibu kota baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang berasal dari Jember, Indonesia itu, dia memilih untuk menyanyi lagu-lagu dengan lirik positif kerana mahu menyebarkan perkara yang baik dalam kalangan peminat.

“Ramai orang pada zaman sekarang sukar untuk berfikir dan berbuat perkara yang bersifat positif.

“Jadi, saya berharap dengan adanya lagu Aku Cinta Mati, khalayak dapat tempias dan meninggalkan perkara kurang baik,” katanya yang mengakui mempunyai kelebihan untuk menyanyi lagu-lagu seperti itu.

Mendayu

Melanjutkan bicara, Adi turut mengakui kelebihan vokalnya terletak pada lagu-lagu yang mendayu.

“Pernah dulu saya menyanyikan lagu-lagu rancak menerusi band Manusia Putih. Pada waktu tersebut, kami membawakan lagu berentak funk.

“Gaya vokal saya juga berbeza, lebih banyak menggunakan teknik falsetto. Tetapi, usaha tersebut tidak berjaya kerana peminat masih mahu saya menyanyi lagu-lagu berentak balada,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai lagu tersebut, Adi atau nama sebenarnya, Adi Priyo Sambodo berkata, Aku Cinta Mati merupakan ciptaan sahabat baiknya, Garuda yang turut berasal dari Indonesia.

Sama seperti lagu Pinjamkan Hatiku yang pernah dinyanyikan bersama Ayda Jebat, Adi dilihat tidak memilih dalam merakamkan lagu dan terbuka menyanyikan lagu daripada komposer lain.

“Sungguhpun ramai yang mengenali saya sebagai penyanyi yang berkebolehan untuk mencipta lagu, tetapi saya tetap boleh menyanyi lagu garapan komposer lain.

“Hal ini kerana, saya mahu berbahagi kesempatan terutama kepada komposer-komposer baharu yang berbakat besar,” ujar Adi.

Menurut Adi, lagu Aku Cinta Mati pada asalnya dicipta dalam lingkungan muzik rock. Selepas mengadakan perbincangan, dia dan Garuda sama-sama bersetuju untuk melembutkan single berkenaan mengikut kesesuaian hala tuju muziknya pada masa kini.

Positif

“Ketika menerima demo daripada Garuda, lagu ini begitu kuat pengaruh rocknya. Jadi, bersesuaian dengan pilihan muzik saya sekarang, saya lembutkan sedikit supaya mudah untuk diterima,” kata Adi lagi.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Adi yang kini diuruskan oleh Mask Team Music bakal meluncurkan album penuh dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, ada beberapa buah lagu telah disiapkan, tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa. Saya mahu album terbaharu berjalan dengan penuh sistematik.

“Selain lagu Aku Cinta Mati, lagu lain yang dimuatkan adalah ciptaan saya sendiri,” kongsinya.

Melihat pada arah tuju muzik Adi, mungkin ada segelintir pihak akan menyamakannya dengan penyanyi ketuhanan dari Indonesia, Opick. Namun, menurut tuan empunya badan, dia tidak selesa disamakan dengan penyanyi yang popular dengan lagu Rapuh itu.

“Saya tidak mahu menjadi Opick. Cuma, jalur muzik yang saya ikut sekarang mirip penyanyi asal Indonesia juga iaitu Anji.

“Sejak kebelakangan ini, dia sering meluncurkan lagu-lagu positif yang bersifat mesra pendengar. Saya mahu mengikut acuan muziknya,” ujarnya.

Berhubung statusnya sebagai vokalis 6ixth Sense, Adi menegaskan, dia masih bergelar penyanyi utama kumpulan tersebut.

Band

Katanya, sungguhpun sibuk dengan projek solo, mereka masih bersatu dan akan muncul dengan album terbaharu tidak lama lagi.

“Saya dan 6ixth Sense masih bersama dan tidak pernah berpecah. Jika ada undangan untuk mengadakan persembahan pentas, saya akan bersama yang lain.

“Tambahan pula, kami juga sedang menyiapkan album baharu. Cuma tunggu giliran siapa yang akan meluncurkan album dahulu,” ujar Adi sambil memberitahu yang ahli kumpulan mereka saling menyokong kerjaya solonya.

Ditanya benarkah 6ixth Sense masih wujud disebabkan dirinya, ini jawapan Adi: “Saya juga masih ada dalam industri kerana 6itxh Sense. Jujurnya, kami sebagai penyanyi berkumpulan memerlukan satu antara lain,” katanya menutup perbualan.

Memilih untuk mencuba genre muzik dengan lirik positif, Adi Priyo muncul dengan single terbaharu berjudul Aku Cinta Mati.