Biarpun ia tergolong dalam kategori popular dan bukannya terbaik, namun Khai berpendapat, kemenangannya itu merupakan permulaan buatnya mengukuhkan kedudukan dalam lapangan seni suara tanah air.

Ujar Khai, tanpa sokongan peminat mustahil baginya meraih perhatian, sekali gus dikenali sebagai penyanyi. Tambahan, peminat turut memainkan peranan penting terhadap jatuh bangun kerjaya seseorang artis.

Justeru, dia mengambil pendekatan positif terhadap pendapat yang melabelkan dirinya sebagai artis popular berbanding terbaik.

Tambah Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 24, dia masih baharu dalam industri hiburan dan terlalu banyak perkara perlu dipelajari dalam tempoh mematangkan dirinya, sekali gus persediaan untuk menjadi penyanyi yang versatil.

KOSMO!: Tahniah atas kemenangan Khai Bahar membawa pulang trofi Penyanyi Pilihan Samsung yang merupakan undian peminat secara atas talian pada AJL32 minggu lalu. Bolehkah kongsikan perasaan anda terhadap kemenangan tersebut?

KHAI BAHAR: Saya bersyukur atas kemenangan tersebut. Meskipun tidak berjaya meraih sebarang kedudukan dalam AJL32 tetapi secara peribadi saya berasa gembira dengan kemenangan ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang.

Adakah anda berasa kecewa kerana tidak berpeluang meraih sebarang kedudukan teratas pada acara tersebut?

Mustahil untuk saya berasa kecewa kerana peluang untuk menjadi finalis AJL bukan suatu perkara mudah. Pada saya, itu sudah menjadi suatu pencapaian cemerlang sepanjang tempoh setahun kerjaya sebagai penyanyi.

Saya tidak berasa kecewa kerana ia merupakan adat pertandingan dan kemungkinan berlaku kesilapan dalam membuat persembahan menyebabkan saya tidak menjadi pilihan juri.

Namun, saya mengambilnya sebagai pengalaman dan berusaha untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Melihat pada sokongan peminat, mereka meletakkan harapan tinggi agar anda memenangi anugerah utama. Bagaimanakah reaksi anda terhadap sokongan mereka itu?

Saya berasa bersyukur dan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan. Saya tahu setiap peminat pastinya menaruh harapan agar artis kesayangan mereka berjaya.

Namun, saya perlu menerima takdir bahawa rezeki mungkin hanya untuk itu sahaja. Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan sejak saya memulakan kerjaya hampir dua tahun lalu.

Bagaimanakah penerimaan sekiranya khalayak melabelkan anda sebagai artis yang hanya bergantung pada populariti berbanding kualiti?

Secara peribadi saya berasa puas hati walaupun tidak memenangi anugerah berdasarkan pemilihan juri profesional. Barangkali belum tiba masanya untuk saya menjadi antara yang terbaik buat masa sekarang. Justeru, itu bermaksud saya perlu lebih berusaha keras agar tidak hanya bergantung pada populariti.

Tambahan, sekiranya anugerah tersebut melibatkan undian peminat itu bermaksud khalayak menyokong kerjaya seni saya. Mustahil untuk saya menafikan hak mereka untuk mengundi artis kegemaran masing-masing.

Tidak mengira sama ada anugerah berdasarkan populariti atau kualiti, ia merupakan rezeki dan mengapa perlu kita mempertikaikannya.

Setiap peminat itu mempunyai kesungguhan dan keinginan untuk membantu artis kegemaran masing-masing meraih kejayaan. Jadi, mustahil saya mahu mengatakan kepada mereka agar jangan mengundi hanya kerana bimbang dilabelkan sebagai artis popular dan bukannya terbaik.

Apakah perancangan aktiviti seni anda selepas ini?

Buat masa ini, saya memberi fokus kepada aktiviti mempromosikan lagu Luluh. Insya-Allah saya menaruh harapan agar pada AJL tahun hadapan, lagu tersebut melayakkan saya ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, segalanya bergantung pada rezeki. Selain itu saya juga sedang dalam proses pembikinan dua single duet bersama Fatin Husna dan seorang penyanyi Indonesia, Tiffany.

Semua itu masih dalam peringkat perbincangan. Lagu duet saya bersama Tiffany merupakan runut bunyi filem Indonesia bertajuk Haji Kecil.