Biarpun diberi tugas belakang tabir untuk mengemudi slot temu bual bersama peserta-peserta Big Stage, namun, menurut lelaki berusia 25 tahun itu, perasaan gemuruh tetap kuat membadai jiwanya.

“Masih segar dalam ingatan ketika minggu pertama saya menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Big Stage Live Plus. Perasaan saya pada waktu itu sukar untuk digambarkan.

“Biarpun banyak kali melakukan latihan, namun, saya tetap gemuruh sewaktu lintas langsung diadakan,” katanya memulakan bicara.

Melanjutkan bicara mengenai program yang hanya boleh disaksikan jika khalayak menonton secara online, Harris berkata, mengacara rancangan secara langsung bukanlah satu hal yang mudah.

Tambah pemilik nama sebenar Mohd. Harris Shahrul Annuar itu, ia sama sekali berbeza jika mahu dibandingkan dengan penggunaan harian aplikasi siaran langsung yang selama ini kerap digunakan dalam laman sosial.

“Kita sudah terbiasa dengan Instagram Live dan Facebook Live. Jadi, sudah tentu kita berpendapat yang tugas mengemudi acara secara langsung tidaklah sesukar mana.

“Namun, jangkaan saya meleset sama sekali. Bersiaran secara langsung menerusi media sosial secara amatur cukup berbeza jika mahu dibandingkan dengan produksi profesional,” tegasnya.

Bagaimanapun, rezeki Harris sebagai pengacara Big Stage Live Plus tidak panjang. Hanya sempat beraksi selama empat minggu, tugas Harris kini digantikan oleh penyampai radio Era, Radin.

Rezeki

Ditanya tentang perasaannya apabila tidak dapat melengkapkan tugasan mengacara program berkenaan selama lapan minggu, Harris menjelaskan, dia menerima perkara tersebut dengan hati yang terbuka.

Pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017 itu berkata, ilmu sebagai pengacara masih lagi kurang. Barangkali dia juga masih belum bersedia untuk mengemudi sebuah program secara langsung.

“Saya sifatkan perkara ini sebagai rezeki. Mungkin sampai di sini sahaja rezeki saya untuk mengendalikan Big Stage Live Plus.

“Jika dilihat kembali, program berbentuk siaran langsung agak besar untuk saya kendalikan. Mungkin banyak yang perlu saya perbaiki jika saya mahu terus mencuba nasib dalam bidang ini,” katanya.

Enggan memanjangkan cerita, Harris berkata, tiada pihak yang bersalah apabila namanya diganti dengan pengacara lain.

“Sejujurnya, saya tidak melihat ada pihak yang bersalah dalam perkara ini. Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Astro kerana mempercayai bakat yang ada pada saya.

“Banyak yang saya pelajari daripada program ini. Saya berjanji untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Harris berkata, dia bersyukur kerana dikelilingi oleh individu yang sering memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk tidak berhenti mencuba.

Selain syarikat pengurusannya, Harris turut dibalut dengan kata-kata semangat oleh kakaknya, Nadia Annuar yang juga bergelar pengacara.

“Kakak saya berpesan agar sentiasa berlapang dada dengan segala kemungkinan. Katanya, itulah cabaran awal yang perlu saya hadapi jika mahu bergelar pengacara,” tutur Harris yang masih melihat bidang pengacaraan sebagai karier utamanya.

Lakonan

Meskipun tidak lagi bergelar pengacara Big Stage Live Plus, tuah Harris dilihat menyebelahinya apabila dia ditawarkan untuk berlakon dua drama bersiri bagi siaran hujung tahun ini.

Diberi tanggungjawab memegang watak Farish dalam Lelaki Kiriman Tuhan dan Putera Raiyan menerusi Isteri Untuk Disewa, Harris ingin membuktikan bahawa dia juga mempunyai bakat dalam bidang lakonan.

“Walaupun ini merupakan percubaan pertama dalam bidang lakonan, saya berharap agar ia membuka peluang kepada saya untuk terus membina nama sebagai pelakon.

“Tambahan pula, kedua-dua drama ini bakal disiarkan sekitar Oktober depan. Jadi, penonton dapat menilai sendiri mutu lakonan saya dalam dua drama berbeza,” katanya penuh semangat.

Masih menjalani penggambaran bagi kedua-dua drama secara serentak, Harris mengakui tidak terbeban dengan tanggungjawab tersebut.

“Saya tidak kisah untuk berlakon dua watak dalam satu masa kerana kedua-dua karakter yang saya jayakan ini tidak jauh beza.

“Sedikit sebanyak, ia menjadi cabaran untuk saya lebih fokus dalam mempersembahkan lakonan yang berkualiti,” katanya yang terkenal dengan tanda pagar #BangkitBotak di Instagram.

Menyerlah

Apabila melihat karier Harris yang mula bercambah, pasti ada yang berpendapat bahawa bintangnya dalam industri hiburan lebih bergemerlapan berbanding alumni Hero Remaja 2017 lain.

Begitupun, Harris yang mengakui masih lagi bertatih dalam bidang glamor ini tidak melihat perkembangan kerjayanya sebagai satu yang layak dipertandingkan.

Kata Harris, segalanya terletak pada rezeki dan usaha yang diletakkan dalam kerjaya masing-masing.

“Kami tidak melihat karier masing-masing sebagai satu perlumbaan. Juara dan naib juara Hero Remaja 2017, iaitu Alif dan Farhan masing-masing telah bergelar pelakon.

“Cuma, saya tidak bermula sebagai pelakon tetapi pengacara. Kiranya, saya alumni ketiga yang dapat menempatkan diri dalam bidang seni.

“Saya percaya, setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, semuanya disebabkan takdir dan rezeki yang telah disusun oleh Allah,” ujar Harris menutup perbualan.