PROFESIONAL. Semakin matang menangani perkara negatif yang hadir dalam hidupnya, Aiman berkata, ia perlu ditangani dengan sikap profesional sebagai seorang artis.

Pengakuan itu sekali gus mendapat pelbagai respons daripada peminat yang rata-ratanya kecewa dengan penipuan itu, malah ramai artis lain menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan tindakan yang tidak rasional tersebut.

Sebagai rakan seperjuangan, penyanyi Aiman Tino turut terkesan dengan isu itu.

Namun, kesan yang dimaksudkan bukan merujuk kepada perasaan tetapi sebaliknya ia mencuri perhatian penyanyi berusia 20 tahun tersebut untuk turut membuka mulut dan menyuarakan pendapat sebagai seorang rakan artis.

Bagi pelantun lagu Ku Sesat Dalam Rindu itu, dia tidak menafikan kehadiran kelompok penyanyi baharu seperti mereka sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian luar biasa.

Ada yang suka, malah tidak kurang juga ramai yang mencela. Nama Aiman berada pada carta paling atas dalam senarai penyanyi baharu yang kerap menerima kecaman saban hari.

Siapa sangka, selang purnama berganti, segala fasa kritikan yang dilaluinya kini sudah semakin perlahan hinggap berbanding pada awal kemunculannya dahulu. Jujur akuinya, dia pernah berasa tertekan apabila kerap menjadi bahan kecaman.

Sukar

Namun, langkah yang diambilnya pada waktu itu adalah dengan tidak menghiraukan komen netizen selain banyak meminta nasihat daripada orang terdekat.

“Tipulah kalau cakap saya tidak terkesan membaca komen orang yang kebanyakannya semua mengutuk saya. Memang ada rasa tertekan sedikit tetapi tidaklah sampai depresi.

“Apa yang saya lakukan untuk menghindarkan diri daripada terpengaruh dengan perkara negatif sebegitu adalah tidak mengendahkannya selain banyak meminta nasihat daripada ibu bapa kerana mereka orang yang paling memahami diri kita saat suka dan duka,” kongsi Aiman.

Pun begitu, pencapaian yang diraih pemilik nama sebenar, Mohammad Aiman Yusri itu dalam arena nyanyian cukup membanggakan apabila kehadirannya mencetus fenomena sekitar 2016 menerusi debut Ku Rela Dibenci.

Sehingga kini, klip video lagu berkenaan masih berada dalam carta nombor satu jumlah tontonan paling tinggi di laman carian YouTube iaitu lebih 46 juta.

Malah, personaliti yang ramah dan berwajah polos serta keanak-anakan menjadikan dia senang didekati peminat termasuklah golongan kanak-kanak.

Namun di sebalik populariti yang menjulang tinggi itu, Aiman mengakui hidupnya tidaklah seindah yang dilihat orang ramai kerana sebagai manusia biasa, dia juga mempunyai perasaan terkilan tatkala dikecam tanpa sebab.

“Tapi itu dululah. Lama-lama, apabila baca komen netizen contohnya, saya sudah tiada rasa apa-apa. Kelakar pun ada juga kerana mereka sanggup menghabiskan masa untuk kita.

“Secara tidak langsung sebenarnya ia membantu nama kita untuk dikenali. Jadi, sebagai artis kita juga perlu hargai perkara negatif sebegini sebab ia salah satu daripada proses kehidupan,” katanya.

Memahami keberadaan dalam industri tidak menjanjikan kemanisan sepanjang masa, Aiman menitip pesanan buat rakannya itu untuk mendepani hari-hari mendatang.

Nasihat

Tegasnya, anak seni biarpun baru mahu bertatih dan berada dalam fasa usia yang masih muda sepatutnya jangan terlalu memikirkan kata-kata orang, apatah lagi jika ia adalah sesuatu yang negatif kerana mulut manusia boleh berkata apa sahaja yang mereka suka.

“Semua orang pernah laluinya, bukan kami sahaja. Cuma tidak hanya sedikit yang mampu terima perkara negatif seperti ini dalam hidup mereka dengan baik.

“Bagi saya, apabila sudah masuk dalam industri, mahu atau tidak kita perlulah hadapi situasi sebegini.

“Apa yang netizen kata, ambil yang positif untuk kita jadikan panduan dalam hidup, manakala yang positif buanglah jauh-jauh,” katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Permata Cinta itu berkongsi perkembangan terkininya yang bakal muncul dengan sebuah lagu baharu.

Istimewanya, lagu tersebut akan menampilkan sisi berbeza Aiman yang selama ini serasi dengan imej lagu balada 1990-an.

“Lagu baharu ini sangat berbeza dengan kesemua lagu saya sebelum ini. Apa yang saya boleh kongsikan buat masa sekarang adalah ia lari daripada imej saya selama ini.

“Cuma saya tidak mahu ia berlaku mengejut kerana faham penerimaan peminat. Jadi caranya, saya akan kongsikan perubahan itu sedikit demi sedikit di laman sosial, contohnya dari segi penampilan diri,” ujarnya yang juga bakal berkolaborasi dengan seorang komposer untuk menghasilkan lagu tidak lama lagi.

Tempoh tiga tahun bergelar anak seni, ada banyak duri dan ranjau yang telah dilalui Aiman Tino. Menjadikan semua itu sebagai kekuatannya meneruskan langkah dalam industri, kata Aiman, jangan cepat mengalah hanya kerana terkesan dengan pandangan orang lain.