Sehingga kini, Tom sudah terlibat dalam lima buah naskhah Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai Spider-Man atau Peter Parker iaitu Captain America: Civil War (2016), Spider-Man: Homecoming (2017), Avengers: Infinity War (2018), Avengers: Endgame (2019) dan terbaharu filem arahan pengarah Jon Watts iaitu Spider-Man Far From Home.

Spider-Man kini menjadi antara karakter semakin disayangi ramai selepas dentuman naskhah terkini MCU yang kini sudah mencatat kutipan pecah panggung AS$577.8 juta (RM2.37 bilion) sejak mula ditayangkan minggu lalu.

“Saya sukakan karakter (Spider-Man) ini sangat-sangat dan rasanya seperti mimpi zaman kanak-kanak menjadi kenyataan apabila dapat memainkan peranan ini.

“Saya sangat seronok dan sukakan apa yang sudah kami bikin dengan filem ini, termasuklah hati penonton yang sudah kami sentuh serta perkara-perkara hebat yang berlaku sesudah naskhah berkenaan dihasilkan.” kata Tom sebagaimana tersiar dalam laman web kritikan filem, Rotten Tomatoes baru-baru ini.

Peter makin matang

Untuk khalayak yang sudah menonton Spider-Man: Far From Home pasti mengangguk tanda setuju dengan sisi kematangan yang ditonjolkan Tom sebagai Spider-Man atau Peter.

Kali ini, Peter bukan lagi lelaki remaja berusia 16 tahun yang kelam-kabut atau cacamarba. Berdasarkan apa yang berlaku dalam Avengers: Endgame (kehilangan mentornya iaitu Tony Stark atau Iron Man), di bahu Tom kini tergalas peranan adiwira dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Iron Man.

Berkongsi cerita tentang kisah menjalani penggambaran Spider-Man: Far From Home, Tom berkata dalam rancangan bual bicara, The Late Show with Stephen Colbert, dia sangat teruja kerana dapat ‘pulang’ ke kampung halamannya.

“Menerusi naskhah pertama, Spider-Man: Homecoming saya menjalani penggambaran beribu kilometer jauhnya dari rumah (England).

“Tetapi filem ini yang diberi nama Spider-Man: Far From Home, penggambaran dijalankan hanya 20 minit daripada rumah orang tua saya (ketawa),” ujar Tom, 23.

Tom yang berwajah keanak-anakan tidak malu untuk mengakui dia merupakan seorang ‘anak emak’ dan sangat rapat dengan ibunya, Nicky.

“Saya banyak terhutang budi terhadapnya kerana ketika kecil, dia yang sering membawa saya menjalani uji bakat lakonan.

“Masih segar dalam ingatan saya, ibu selalu melakukan regangan kalau ingin terpilih berlakon teater muzikal berjudul Billy Elliot.

“Saya tidak selalu membuat regangan namun bertuah kerana berjaya memainkan peranan sebagai Michael. Ibu memang seorang wanita yang hebat,” katanya yang memulakan kerjaya lakonan menerusi teater muzikal itu pada usia 12 tahun.

Senaman

Dalam ruang media sosial dan buah bicara orang ramai yang sudah menonton Spider-Man: Far From, ramai yang memuji cetusan kimia antara Tom dan pelakon yang memainkan peranan Mysterio iaitu Jake Gyllenhaal. Lebih mengujakan, ramai yang mengistilahkan keserasian mereka sebagai Bromance. Istilah berkenaan merujuk terhadap penyatuan emosi yang cukup intim antara dua lelaki tanpa bermotif seks.

Ada yang berpendapat Bromance antara Tom dan Jake sangat semula jadi bukan sahaja dalam filem bahkan di luar set penggambaran seperti sesi wawancara bersama media.

“Kami sangat sayang dan hormat antara satu sama lain. Ada satu ketika, kami di China dan Jake mengajak saya untuk ke gimnasium. Sejujurnya, saya tidak mahu kerana dia lebih sasa daripada saya, sementelah saya pantang dicabar.

“Ketika melakukan senaman bahagian perut dan kaki, Jake bertanya, sama ada saya ingin berlari atas treadmill dan memanaskan badan.

“Padahal, ketika itu, saya sudah macam ‘terbakar’ satu badan dan mahu berhenti daripada melakukan senaman,” cerita Tom.

Kemudian, kami saling mencabar antara satu sama lain membuat senaman ekstrem dan intensif.

“Saya menyesal mencabarnya namun apabila berada di gimnasium ada undang-undang iaitu anda tidak boleh berlari lebih perlahan daripada orang yang berlari di sebelah,” katanya.

Sebelum menutup perbualan Tom berkata: “Selepas itu, saya buat latihan angkat berat untuk membesarkan otot dada sampaikan saya tidak mampu untuk berjalan.

“Ketika sesi bersama wartawan, mereka tanya mengapa dengan saya. Saya jawab, saya banyak melakukan babak aksi sendiri untuk filem Spider-Man: Far From Home sedangkan semua itu kerana Jake!”

Tom Holland bercerita tentang permainan watak sebagai Peter Parker dalam Spider-Man: Far From Home dan keakraban emosinya bersama pemilik watak Mysterio yang dijayakan Jake Gyllenhaal.