Menutup kalendar untuk tahun ini dengan sebuah persembahan orkestra di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini, ternyata aura Ella masih terserlah dan berbisa.

Dikendali oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose dengan menggunakan tenaga seramai 90 orang pemuzik orkestra profesional MPO, segalanya dilakar sempurna oleh Ella.

Ella tampil dengan seleksi lagu popular dan malar segar antaranya Permata Biru, Puteri Kota, Rindu, Layar Impian, Permata Pemotong Permata, Nuri dan Dua Insan Bercinta.

“Terima kasih kerana hadir dan memenuhkan ruang dalam dewan ini. Ia adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun ke-30 saya dalam industri,” tutur Ella usai membuka persembahan menerusi lagu Nuri dan Permata Biru.

Tidak menunggu lama untuk meneruskan persembahan menerusi lagu seterusnya, Ella dilihat agak malu-malu untuk mencipta interaksi bersama peminat kerana mengakui dirinya seorang yang kurang bercakap ketika berada di atas pentas.

Dunia berbeza

Diubah sepenuhnya menjadi sebuah lagu yang disusun dengan gubahan muzik baharu membuatkan penonton yang hadir pada malam persembahan bagaikan berada dalam dunia berbeza dan sedang menonton persembahan runut bunyi filem.

“Ia memang sukar untuk dilakukan tetapi sekali sudah masuk dalam dunia ini, saya rasa muzik orkestra sangat indah dan berbeza,” tutur Ella.

Ketika ditanya tentang bahagian-bahagian tertentu yang menuntut beliau untuk mengawal lantunan vokal, Ella mengakui ia merupakan salah satu cabaran yang dilaluinya.

“Ada bahagian tertentu yang saya perlu kawal kerana muzik orkestra mempunyai tahap kelembutan dan klimaks. Jadi saya perlu masuk ke dalam dunia itu untuk menjadikannya sebati dengan suara dan lagu.

“Walaupun ia cabaran yang besar sepanjang karier saya, tetapi secara jujur persembahan ini memberi keseronokan kerana bukan selalu lagu-lagu saya digubah kepada bentuk orkestra,” kata pemilik nama penuh Norzila Aminuddin itu mesra.

Ironi, kesemua 15 lagu termasuk satu medley yang dipersembahkan pada malam itu mengambil masa selama enam bulan untuk dipilih.

Mengubah kebanyakan lagu beliau yang bersadur genre rock kepada persembahan orkestra menuntut kajian mendalam agar muzik dan lagu dapat menyerap instrumen sebelum dipersembahkan sempurna sebagai sebuah lagu.

“Tidak semua lagu sesuai dan sedap didengar dalam bentuk orkestra. Apa yang menjadi tumpuan adalah dari segi melodi, susunan muzik dan teknikal. Syukur semuanya berjalan dengan lancar dan peminat memberikan respons sangat positif untuk persembahan ini,” katanya sambil melentur senyum.

Puas

Meski sukar, namun pengalaman Ella di atas pentas selain kepakaran pasukan pemain orkestra telah memberi kepuasan kepada peminat meskipun dua jam berlalu tanpa sedar.

Apa yang boleh dikatakan tentang konsert tersebut adalah gubahan baharu yang disuntik pada setiap lagu yang dipersembahkan sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya pada waktu intro muzik dimainkan.

Memandangkan ini pengalaman Ella tampil dengan persembahan orkestra, beliau mengakui terpaksa berhadapan dengan cabaran tersendiri untuk membawakan lagu-lagu yang digubah semula.

“Lagu paling sukar dibawa adalah Ku Sedia, Pedih dan Puteri Kota,” ujarnya ringkas tatkala ditanya tentang lagu paling sukar dibawa pada malam itu.

Sukar bagi Ella tetapi menakjubkan buat penonton yang melihat aksi luar biasanya di atas pentas dengan barisan lagu rock yang kebanyakannya bernada tinggi.

Pada kesempatan itu juga, penyanyi yang telah menghasilkan sebanyak 12 buah album studio itu menyampaikan lagu Ku Sedia yang diambil daripada album terbaharunya berjudul Peace.Love.Rindu.

Memasuki slot kedua persembahan, Ella yang tampil anggun mengenakan gaun panjang berwarna hitam mencuit hati penonton apabila berlari ke tepi pentas untuk membuka kasut yang dipakainya sebelum kembali semula dengan berkaki ayam.

Pun begitu, wanita berusia 51 tahun itu berkata, ia dilakukan secara spontan kerana penampilannya yang feminin pada malam itu mengehadkan pergerakan.

“Kalau dahulu, sering tampil sederhana dengan berkasut sneakers kerana ia memudahkan saya beraksi di atas pentas. Sekarang sudah lain, jadi sebab itu saya minta izin kepada konduktor untuk membuka kasut kerana lebih selesa dan mudah bergerak. Bagaimanapun, sebenarnya saya suka dengan penampilan feminin begini,” ujarnya sambil ketawa.

Sementara itu, Ahmad Muriz turut mengakui projek tersebut bukan satu kerja yang mudah dilaksanakan namun beliau berpuas hati dengan kelangsungan konsert pada malam itu.

“Segalanya hasil kerjasama yang baik antara pemuzik dengan Ella selain kepakaran penggubah seperti Jenny Chin, Luqman Aziz dan Leonard Yeap yang mempunyai kekuatan tersendiri,” ujarnya.

Biarpun 30 tahun sudah berlalu, namun sikap manja Ella langsung tidak dimamah usia. Spontan dan melontarkan ekspresi ceria di atas pentas membuatkan penonton sentiasa senang dan terhibur dengan keletah wanita itu.

Paduan vokal serak-serak basah miliknya dengan muzik orkestra pada malam itu telah memberi pengalaman berbeza dan manis untuk dikenang peminatnya.

Menghampiri penutup, Ella menampilkan persembahan penuh bertenaga dengan seleksi lagu Dua Insan Bercinta, Sembilu, Standing In The Of The World sebelum diakhiri dengan lagu Gemilang.

Ternyata Ella masih berbisa. Meskipun akan dikenang sebagai ratu rock negara namun keberanian beliau untuk menyahut cabaran mengadakan persembahan orkestra yang berbeza daripada genre muzik yang diperjuangkannya selama ini harus dipuji.

ELEMEN ROCK

Kata Ella, tidak sukar untuk menyuntik elemen rock dalam persembahan orkestra kerana ia hadir secara semula jadi.

SEMPURNA

Mengalunkan sebanyak 15 buah lagu termasuk medley, Ella berjaya melakar sebuah persembahan orkestra sempurna biarpun ini merupakan kali pertama beliau mengadakan persembahan seumpamanya.

ALBUM

Selepas selesai menjayakan persembahan di DFP, Ella kembali sibuk dengan jadual jelajah untuk mempromosi album terbaharunya yang berjudul Peace.Love.Rindu.

MANJA

Tetap manja dan ceria acap kali di atas pentas meskipun usianya kini melewati angka 51 tahun, mungkin itu adalah cara yang digunakan Ella untuk menghidupkan persembahan.

Ratu rock negara tampil berbeza apabila memberi persembahan sempurna menerusi penganjuran konsert Ella Live with MPO: A Rock Queen’s Journey pada hujung minggu lalu yang dialur sempurna dengan iringan muzik orkestra buat pertama kali sepanjang kariernya.

ella1

ella3

ella4

ella6

ella7