Malah, Ketua Editor majalah British Vogue, Edward Enninful menyifatkan pemilik nama sebenar Naomi Grace Scott itu sebagai eksport budaya paling berpotensi negara tersebut.

Hal ini kerana, Naomi memiliki keunikan tersendiri. Berdarah campuran Inggeris-India, dia berjaya mengorak langkah bergaya sebagai seorang pelakon yang semakin dikenali bukan sahaja di Britain bahkan di pentas dunia.

Bercakap tentang penglibatannya sebagai Puteri Jasmine, Naomi memberitahu: “Saya melihat Jasmine sebagai wanita muda, bukan seorang remaja dengan ketabahan yang matang dan boleh melakukan apa sahaja perkara.

“Saya cakap kepada produksi, saya ingin menterjemahkan watak Jasmine sebagai seorang wanita yang kuat.

“Kalau itu bukan apa yang mereka cari, tidak mengapa. Namun, itu bukan untuk diri saya dan apa yang saya cari sebagai pelakon.”

Kata Scott yang sebelum ini membintangi filem Power Rangers, keputusannya untuk berlakon dalam filem Aladdin dipengaruhi oleh suaminya, seorang atlet bola sepak bernama Jordan Spence.

“Keyakinan saya adalah asas terhadap setiap keputusan yang dibuat dan itu tertakluk dalam perkahwinan dengan suami.

“Kami pasangan muda dengan aspirasi yang besar. Saya mahu dapat banyak duit dan memiliki rumah yang besar.

“Tetapi saya dan suami (Jordan) fikir, kalau saya tidak lagi berlakon dan dia berhenti bermain bola sepak, bagaimana dengan kehidupan kami,” katanya kepada majalah British Vogue keluaran April.

Menyanyi

Memainkan watak Puteri Jasmine, Naomi bukan sahaja perlu memiliki nilai tinggi sebagai seorang kerabat diraja yang bijak, dia juga perlu memahirkan diri dengan ilmu nyanyian memandangkan Aladdin merupakan sebuah filem muzikal.

“Ya, saya memang minat menyanyi sejak kecil. Dalam Aladdin, banyak babak yang saya diperlukan untuk menyanyi secara live (langsung).

“Mujur saya dan rakan pelakon lain mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Simon Hayes (pemenang Oscar untuk filem Les Miserables). Bayangkan betapa susahnya ingin menyanyi secara langsung sehingga saya rasa seperti orang gila ketika berada di set penggambaran,” ceritanya.

Bekerja buat pertama kali dengan pelakon berkaliber, Will Smith yang melakonkan watak Genie, Naomi amat memandang tinggi pelakon berkenaan yang disifatkan sebagai salah seorang idolanya.

“Will memang hebat dan dia tidak pernah mengecewakan.

“Saya masih ingat ketika set penggambaran untuk babak ‘Prince Ali’, dia mengejutkan orang ramai apabila boleh menyanyi secara langsung dengan nota yang panjang malah dua kali ganda lebih baik daripada versi studio.

“Perkara itu semakin membuatkan saya sayang dan hormat terhadap Will Smith. Dia memang terbaik,” tutur Naomi ketika menjadi tetamu undangan Jimmy Kimmel Live.

Ditanya sama ada dirinya merupakan peminat kartun Aladdin, jawab Naomi: “Sudah tentu, saya membesar menonton kartun Aladdin. Saya dan abang, Josh Scott sangat gilakan Aladdin sewaktu kami masih kecil.

“Abang saya suka berangan melakonkan watak Aladdin dan saya pula sebagai Jasmine. Banyak kali kami berlakon watak tersebut ketika kecil.

“Kadang-kadang, saya dibuli oleh abang untuk melakonkan watak monyet (Abu) hanya kerana saya bertubuh lebih kecil dan mempunyai rambut (ketawa),” ujarnya.

Mendedahkan kepada Kimmy dalam program bual bicara tersebut, Naomi berkata, kalau dirinya sangat meminati Will Smith, abangnya, Josh lebih meminati aktor itu tahap ekstrem.

Beckham tidak berbaju

“Abang saya meminati Will Smith sampaikan walaupun sudah berkahwin, dia masih mempunyai banyak gambar Will yang ditampal pada dinding kamar tidurnya.

“Apabila dapat tahu saya terpilih melakonkan watak Jasmine dan Will turut terlibat sama sebagai Genie, dia teruja macam orang gila dan menjerit-jerit,” kongsi Naomi.

Menurutnya lagi, apabila berpeluang bertemu dengan Will depan mata, abangnya itu kehilangan kata-kata.

“Apabila saya bawa dia berjumpa dengan Will, dia seperti orang bisu. Senyap seribu bahasa.

“Dia lebih banyak ketawa dan bercakap perkara yang bukan-bukan seperti ‘saya banyak mendengar lagu popular anda’.

“Apabila Will hilang daripada pandangan, abang saya beritahu, banyak perkara ingin dia bicarakan dengan Will namun tidak terluah. Macam mulutnya terkunci,” jelasnya lagi sambil ketawa.

Bercerita lebih lanjut, Naomi berkongsi pengalaman dengan pengarah filem Aladdin, Guy Ritchie yang tidak dapat dilupakan sehingga hari kini.

Guy pada pandangan Naomi ialah sejenis manusia yang sukar untuk membalas pesanan WhatsApp. Ada suatu ketika, dia ingin memberikan ucapan ulang tahun ke-50 kepada pengarah itu. Mesejnya tidak berbalas dan dia mencuba untuk membuat panggilan video FaceTime.

“Saya terkejut apabila Guy ketika itu tidak berbaju. Lagi terkejut apabila dia memalingkan kamera ke arah David Beckham yang juga tidak berbaju. Saya terdiam.

“Saya terkejut sehingga tidak tahu ingin memberi reaksi bagaimana. Mereka berdua berada di dalam spa.

“David bercakap dengan saya bahawa dia banyak mendengar cerita tentang saya. Saya balas dengan skrip yang sama. Yang peliknya, saya bahasakan dia dengan nama penuh dari awal perbualan iaitu David Beckham berulang-ulang kali,” terangnya bersemangat.