Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Yaacob, 62, bakal mengadakan persembahan di Restoran Rebung, Jalan Tanglin milik cef selebriti Datuk Cef Ismail Ahmad.

Lebih manis, persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mac depan itu merupakan kemunculan semulanya selepas hampir 20 tahun tidak menyanyi.

Ikuti temu bual bersama pelantun lagu Peronda Jaket Biru itu mengenai persembahan tersebut selain bercerita pengalaman menunaikan ibadah umrah dan perkembangan terkini kariernya.

KOSMO!: Sahara baru pulang dari mengerjakan umrah Selasa lalu. Boleh ceritakan sedikit perasaan dan pengalaman di sana?

SAHARA YAACOB: Syukur Alhamdulillah kepada Tuhan kerana memberi rezeki untuk saya menjejakkan kaki ke sana. Ini merupakan kali pertama saya mengerjakan umrah. Perasaan sangat tenang dan semua ibadah saya berjalan dengan senang dan lancar. Walaupun ada rakan artis lain yang kurang sihat tetapi syukur saya mampu melakukan ibadah dengan sempurna. Biarpun baru pulang beberapa hari lalu, tetapi sekarang saya sudah sibuk dengan rencana kerjaya.

Baiklah. Apa perancangan terkini anda dalam karier?

Pada 3 Mac depan, saya bakal mengadakan sebuah persembahan selepas hampir 20 tahun tidak menyanyi. Pada persembahan itu saya akan menyanyikan sebanyak 12 buah buah lagu. Tiket dijual pada harga RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu meja yang memuatkan 10 orang. Sebarang urusan boleh menghubungi talian 016-394 4118 atau 016-320 1342.

Saya mengadakan persembahan ini tanpa sebarang modal pun tetapi terpaksa ambil risiko kerana mahu ia direalisasikan dan beri yang terbaik kepada peminat. Saya sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan sebarang tajaan untuk persembahan itu nanti.

Barangkali ada sesuatu yang istimewa menanti penonton pada malam persembahan?

Konsep persembahan saya akan mengimbau zaman kegemilangan dan kenangan dengan menyanyikan lagu Don’t Cry For Me Argentina yang mempunyai nilai tersendiri selain lagu-lagu lain yang bervariasi genre.

Meskipun sudah lama tidak menyanyi tetapi saya yakin masih ada peminat dan penyokong.

Ini waktu untuk saya membukti kemampuan diri walaupun sudah berusia. Diharapkan persembahan ini membuka jalan kepada lebih banyak tawaran pada masa depan.

Dalam masa sama, saya berhasrat untuk menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menonton persembahan saya sebagai tanda terima kasih kerana memberi peluang kepada artis veteran untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

Bagaimanakah dengan kehidupan anda sekarang selepas melalui fasa sukar dalam hidup sebelum ini?

Syukur, segalanya indah dan tidak seperti dahulu. Apabila sudah kenal diri dan Allah, hidup jadi lebih tenang dan senang. Saya bersyukur dengan kehidupan sekarang tetapi ada juga timbul perasaan kecewa apabila menjadi mangsa sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya akui, ada tawaran tetapi yang tidak manisnya apabila orang minta buat persembahan percuma. Malah, pernah juga saya tidak menerima bayaran selepas membuat persembahan seperti yang dijanjikan. Bukan demand tetapi kalian perlu faham, saya datang buat persembahan pun memerlukan kos dari segi pengangkutan dan makanan.

Ada perancangan untuk buat lagu baharu?

Sebenarnya pada bulan Februari tahun lalu saya ada buat projek merakam semula lagu Tangisan Marhein bersama komposer Azman Abu Hassan. Cuma buat masa sekarang klip video belum ada kerana saya sendiri tidak mempunyai sumber kewangan.