Aji atau nama sebenarnya, Fauzi Samin, 50, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Columbia Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Arwah sepatutnya mengiringi persembahan Ramli di dua lokasi sekitar Melaka iaitu pada majlis graduan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) malam ini dan Pesta Durian Agro Bank esok.

Pihak pengurusan Ramli ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara berkenaan.

"Kami belum fikirkan mana-mana individu menggantikan tempat Aji. Biarpun begitu, pihak kami mengesahkan persembahan Datuk Ramli akan diteruskan.

"Selepas ini Datuk akan bergerak ke Melaka," katanya.

Terdahulu, Aji difahamkan mengalami masalah gastrik selepas menunaikan solat subuh dan menuju ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Columbia Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dia disahkan  meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 11.45 pagi tadi ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Jenazah yang mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak selepas solat Asar hari ini.

Sepanjang kariernya, Aji pernah mengiringi persembahan artis ternama tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Ramli. - K! ONLINE