Maka tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu, wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen menerusi drama tempatan.

Bertemu dengan gadis berusia 27 tahun yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan De Fam pada satu sesi fotografi baru-baru ini, banyak kisah dan impiannya dikongsi bersama.

Siapa sangka minat yang menggunung terhadap bidang lakonan suatu ketika dahulu akhirnya membawa si rupawan ini berdepan dengan dunia realiti sebagai seorang pelakon.

“Semasa menjadi seorang penari beberapa tahun lalu, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi kerana hati sangat teringin untuk menjadi pelakon.

“Dek minat terhadap dunia lakonan, pada ketika itu saya sering menonton teater.

“Alhamdulillah, akhirnya saya berpeluang untuk menjadi seorang pelakon,” ujarnya dengan penuh keterujaan, namun sentiasa mahu memperbaiki diri dalam lakonan.

Masa berjalan begitu pantas, begitu juga dengan pembabitan Azira dalam dunia hiburan.

 

Rezeki

Selepas percubaannya menerusi drama Married Tapi Benci dan Mr. Donat Karamel, tawaran demi tawaran berlakon diterima hinggakan jadualnya bagi takwim 2018 terisi dengan pelbagai aktiviti seni.

“Alhamdulillah, banyak rezeki yang saya terima untuk tahun ini. Kini saya tengah tunggu untuk penggambaran drama terbaharu bagi slot Akasia.

“Bagaimanapun, skrip bagi drama berkenaan masih lagi belum disiapkan. Justeru, saya tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut,” jelasnya yang memberitahu akan menggalas watak heroin dalam drama itu.

Selain itu, gadis yang turut memasang impian untuk membuka sebuah salun rawatan kuku itu memberitahu, dia bakal muncul menerusi drama sebanyak 40 episod, Vila Ghazara pada bulan hadapan.

Menariknya, Villa Ghazara menggabungkan dua lagi ahli De Fam iaitu Nurshazwani Shamsuddin (Cik Manggis) dan Sophiatul Liana Mohd. Sobri (Sophia).

Menyambung bicara dalam bercerita mengenai perjalanan karier sepanjang tahun ini, gadis tinggi lampai itu memberitahu, dirinya turut terpilih untuk menjadi hos bagi sebuah program di sebuah stesen televisyen selain sedang menyiapkan sebuah lagu bersama De Fam.

“De Fam akan mengeluarkan satu single dan sekarang kami masih dalam proses pembikinan single berkenaan. Insya-Allah, kalau boleh kami mahu melancarkannya sebelum Mac depan.

“Untuk single ini, ia tidak sama seperti lagu-lagu De Fam sebelum ini. Liriknya sepenuhnya dalam bahasa Melayu,” ujarnya yang sempat menitipkan harapan agar lagu terbaharu itu mampu diangkat untuk bertanding ke acara berprestij seumpama Muzik Muzik.

 

Cinta

Umum mengetahui, heroin drama Mr. Donat Karamel itu sudah mempunyai teman istimewa dalam hidupnya.

Justeru, persoalan mengenai adakah pelakon jelita itu akan mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat menggelegak di fikiran penulis.

Sejurus soalan tentang hati diutarakan, jelas terpancar sinar pada matanya, malah dengan jujur gadis itu menyusun bait-bait bicara tanpa sesaat pun menghilangkan senyuman di bibir.

“Memang saya ada terfikir untuk berkahwin. Bagaimanapun, kami belum ada kata putus bila untuk melangsungkan perkahwinan.

“Masing-masing sibuk bekerja. Justeru, kami akan mencari masa dan waktu yang sesuai. Mungkin hujung tahun ini atau tahun hadapan. Apa pun, doakan kami,” ujarnya yang juga memberitahu sudah lima tahun menjalinkan hubungan dengan lelaki awal 30-an itu.

Tempoh lima tahun bukanlah sesuatu masa yang pendek bagi sesuatu hubungan. Ditambah pula dengan raut wajah mempesonakan, pasti dirinya sudah menempuh pelbagai ranjau dan ujian bercinta termasuk cuba digoda jejaka lain.

Namun, apa yang membuatkan kesetiaan Azira tetap utuh? Ini jawapannya.

“Dia seorang lelaki yang matang, rajin dan yang paling saya suka ialah dia amat mementingkan keluarga.

“Malah, teman lelaki saya juga banyak meluangkan masa bersama keluarga. Kawan-kawannya juga adalah sepupunya sendiri,” katanya yang mendedahkan perihal sang kekasih.

Tambah Azira, pasangannya itu amat memahami kerjayanya sebagai anak seni dan sering menasihati supaya sentiasa pandai menjaga diri.

 

Komitmen De Fam

Sudah habis membicarakan tentang perihal dirinya, diajak pula bersembang mengenai masa depan bersama kumpulan De Fam yang ditubuhkan dua tahun lalu.

Bukan mudah bagi anak seni yang terikat dengan kumpulan untuk mengembangkan karier menerusi projek solo.

Buktinya, di negara ini sahaja, banyak kumpulan yang berpecah. Bukan kerana mahu membawa haluan diri semata-mata, banyak perkara yang menyebabkan hubungan ahli sesebuah kumpulan itu retak.

Memandangkan gadis yang berasal dari Kuala Lumpur itu acap kali mewarnai dunia drama tempatan, adakah dirinya akan menarik diri daripada De Fam demi memfokuskan kerjaya solo dan mengukuhkan jenama Azira sendiri.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir untuk bergerak solo melainkan penglibatan diri saya dalam drama. Hal itu disebabkan minat yang amat mendalam terhadap bidang lakonan. Justeru, saya dilihat lebih aktif.

“Bagaimanapun, saya tahu untuk menguruskan masa antara nyanyian dan lakonan. Saya fokus terhadap lakonan, namun setelah keluar single, saya akan memberi tumpuan kepada De Fam pula,” ujarnya yang menerbangkan impian untuk melakonkan watak psiko dan dera.

Tambahnya, ahli kumpulan De Fam telah bersepakat untuk tidak akan berpecah walau apa pun yang terjadi.

“Kami ada berbincang dan tidak akan berpecah semata-mata mahu bergerak solo. Sekiranya berpecah, ia mungkin akibat faktor-faktor lain seperti sudah tua,” katanya bersungguh-sungguh.

Bukan itu sahaja, Azira berkata, dirinya amat beruntung memiliki Cik Manggis dan Sophia kerana mereka sangat memahami, malah menyokong antara satu sama lain.

PEMILIK nama Azira Shafinaz Ramlan berhasrat untuk membuka salon rawatan kuku suatu hari nanti.