Selepas dikenali dengan single perdana berjudul Mimpi, pemilik nama lengkap Daniel Lee Chee Hun itu terus sukses dengan tiga album studio iaitu Daniel, Unavoidable dan Pasti.

Begitupun, kemanisan yang dikecapi tidak kekal lama. Usai penerbitan album kompilasi Sharing, Danell Live Concert dan Sincerely Yours, Daniel, hidup lelaki berusia 37 tahun itu terumbang ambing dibadai dugaan industri muzik. Hampir dua tahun tidak menerima sebarang tawaran pentas, Daniel nekad berhenti menyanyi dan terjun ke bidang perniagaan.

“Dua tahun selepas menjuarai Malaysian Idol 2, kehidupan saya semakin sukar. Baru saya sedar tentang dugaan dunia hiburan pada waktu itu. Tawaran nyanyian semakin berkurangan, sementara komitmen seperti pinjaman rumah perlu dilunaskan.

“Selepas lama berfikir, saya mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan memberi fokus terhadap perniagaan makanan laut sejuk beku yang diusahakan oleh bapa,” ujar Daniel ketika ditemui habHib di Studio Utusan, baru-baru ini.

Perniagaan

Menurut penyanyi kelahiran Kedah itu, walaupun diberi peluang untuk menguruskan perniagaan bapa secara total, dia masih kurang yakin dengan kemampuan dirinya.

“Saya tiada pengalaman dalam bidang perniagaan. Jadi, banyak perkara yang perlu dipelajari sepanjang menguruskan perniagaan bapa.

“Hampir setahun menguruskan syarikat bapa, saya gagal membawa keuntungan. Oleh sebab itu, saya perlu mencari inisiatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya lagi.

Daniel kemudiannya meninggalkan syarikat bapanya lalu mencuba nasib dalam bidang perniagaan makanan dan minuman sebagai pembancuh kopi.

“Saya sedar saya tidak mempunyai pengalaman bekerja di syarikat-syarikat besar. Penyanyi adalah karier pertama saya, justeru saya terpaksa menerima apa sahaja pekerjaan asalkan mampu untuk mengisi perut.

“Waktu diduga, saya mula belajar tentang banyak perkara. Selain belajar tentang ruang lingkup perniagaan yang berbeza, saya juga belajar tentang kehidupan,” katanya dalam nada sedih.

Tuah

Menurut Daniel, biarpun pernah dikenali ramai, dia tidak malu untuk bermula dari bawah dan menghadapi realiti kehidupan secara berlapang dada.

“Saya popular secara tiba-tiba menerusi Malaysian Idol. Pada saat itu, saya tidak pernah berasa susah untuk mencipta nama. Jadi, apabila semakin kurang popular, saya perlu bermula dari bawah sama seperti penyanyi lain,” katanya.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, tiada siapa yang tahu. Berkat pekerjaannya sebagai pembancuh kopi, Daniel akhirnya bertemu secara tidak sengaja dengan seorang pemilik syarikat muzik yang mahu menggunakan khidmatnya menerbitkan lagu-lagu untuk penyanyi baharu.

“Pada tahun 2017, selepas hampir setahun bekerja sebagai pembancuh kopi di sebuah kafe di ibu kota, saya bertemu dengan pemilik syarikat PH Music.

“Menerusi pertemuan tersebut, saya ditawarkan pekerjaan sebagai penerbit di syarikatnya bagi penerbitan lagu untuk artis baharu.

“Katanya, saya sesuai dengan pekerjaan sebagai penerbit muzik kerana mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang tersebut,” kongsi Daniel.

Bertunang

Meskipun masih meneruskan kerjaya sebagai penerbit muzik, namun minatnya terhadap bidang nyanyian tidak pernah pudar. Merancang untuk membuat kemunculan semula, Daniel kini sedang mencari komposer yang sesuai untuk mencipta lagu Melayu.

“Sebenarnya, saya tidak kisah untuk berkolaborasi dengan mana-mana komposer, cuma berharap agar kolaborasi tersebut dapat menghasilkan satu lagu yang mampu memberi impak kepada pendengar,” katanya yang berminat untuk bekerjasama dengan komposer Azlan Abu Hassan.

Menyentuh mengenai perihal peribadi, Daniel memberitahu dia baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya yang bernama Sue Ming pada Oktober tahun lalu.

“Saya dan Sue Ming mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu. Ketika itu, kami berkenalan di gereja tempat saya menyanyi. Kami bermula sebagai kenalan biasa dan mula rapat sejak tahun lalu.

“Tidak menunggu lama, kami mengambil keputusan untuk bertunang pada Oktober 2018. Walaupun masih belum mempunyai sebarang perancangan, saya berharap dapat mendirikan rumah tangga pada tahun ini,” jelas Daniel.

Melanjutkan bicara mengenai sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, Daniel menjelaskan, yang dia akan pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang iaitu kampung ibu bapanya.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya akan pulang ke kampung ibu dan bapa di Bukit Mertajam. Tahun ini, perayaan sederhana sahaja cuma persiapan tetap meriah.

“Walaupun zaman semakin moden, saya masih percaya tentang tradisi lama seperti memakai pakaian berwarna merah sepanjang sambutan tahun baru untuk mendapat tuah.

“Selain tuah, pakaian warna merah dan corak bunga juga memberi kemeriahan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina,” ujar Daniel menutup bicara.

Lebih tujuh tahun menghilang daripada radar dunia hiburan, pemenang Malaysia Idol 2, Daniel Lee merancang merakam single baharu dan membuat kemunculan semula.