Siapa juga tidak dapat menafikan saat dibuai merasai alam rumah tangga, hati yang pada awalnya kosong mula menerbitkan cambah cinta.

Namun, lumrah kehidupan, pasti ada sahaja perkara yang tak terduga hingga ada yang pendam rasa, kecewa dan berkorban.

Itu antara kesimpulan yang penulis mampu huraikan mengenai sebuah drama berjudul Pencuri Cinta Kelas Satu arahan Pengarah, Emi Suffian.

Drama sebanyak 13 episod ini diadaptasi daripada sebuah novel yang berjudul Pencuri Hati Kelas Satu karya Illa Shanahila.

“Idea membikin karya ini sudah semestinya daripada novel berkenaan.

“Apabila membaca naskhahnya pun, kita sudah tahu sama ada ia sesuai atau tidak untuk diterbitkan menjadi sebuah drama. Ditambah dengan jalan cerita yang ringan dan senang difahami tetapi penuh dengan pengajaran yang tersendiri,” ujar Emi yang turut memberitahu plot dan konflik yang ditambah menjadikan drama itu tidak bosan untuk ditonton seisi keluarga.

Menurutnya lagi, apa yang cuba ingin disampaikan dalam naskhah ini ialah sebuah tanggungjawab.

“Cukup senang, iaitu tanggungjawab, kasih sayang dan cinta sesama manusia, antara keluarga mahupun orang biasa.

“Melafazkan tentang tanggungjawab itu mudah, tetapi melaksanakannya bukan mudah,” katanya drama ini digarap dengan penuh santai dan melucukan.

Sementara itu, salah seorang tunjang utama, Hafreez Adam memberitahu, terdapat sedikit cabaran yang terpaksa digalasnya dalam naskhah berkenaan.

“Saya memegang watak sebagai Amar Firzal, seorang jurutera. Anak yang baik dan juga seorang yang beriman.

“Cabarannya ialah untuk menzahirkan watak Amar yang ada daripada dalam novel ke dunia nyata. Untuk memastikan persamaan Amar, saya sasarkan untuk sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus sama dengan novel,” jelasnya.

Untuk menjayakan watak itu, katanya, dia lebih berusaha untuk memahami apa yang skrip mahukan agar watak berkenaan tidak jauh dari penulisan itu sendiri.

Pencuri Cinta Kelas Satu mengisahkan tentang Aisya Humaira (Emma Maembong) yang terpaksa menjaga anak buahnya apabila abang beliau terpaksa berpindah ke Dubai atas urusan kerja.

Realiti tak seindah novel yang sering dibacanya apabila beliau terpaksa menggalas tanggungjawab berat kerana kanak-kanak tersebut perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ayah.

Seorang ayah yang akhirnya menemukan beliau kepada Firzal dan juga konflik perhubungan Aira bersama Zulfa (Ariz Lufias) yang berkenalan selama tujuh tahun tetapi lelaki tersebut tidak mahu menikahinya.

Apa yang terjadi antara mereka, jangan lupa saksikan Pencuri Cinta Kelas Satu yang ditayangkan bermula 2 Julai lalu pada setiap hari Isnin, pukul 9 malam di Slot Astro Oasis saluran 106.