Ia adalah fasa baharu bagi setiap pasangan untuk menempuh episod suka duka bersama.

Pada masa sama, ia adalah permulaan kepada pasangan untuk mempelajari pelbagai perkara termasuk memimpin, mendidik, mengawal diri daripada perasaan marah serta bersabar terhadap perangai pasangan masing-masing.

Ada pasangan yang ego, baran, malah tidak kurang juga ada yang mudah melenting biarpun penyebabnya hanyalah sesuatu perkara yang remeh atau kecil.

Hal begitu sememangnya wujud dan seringkali dialami bagi setiap pasangan suami isteri.

Ia antara intipati yang diketengahkan dalam sebuah filem televisyen bergenre romantik yang berjudul Janji Zehan.

Naskhah yang digarap pengarah terkenal Bernard Chauly itu bukan sekadar memfokuskan kisah suami isteri yang baru berkahwin semata-mata, namun turut diapit dengan keindahan lokasi penggambarannya iaitu di sekitar Iran.

Diterajui oleh pelakon berbakat dari dua benua, Nur Fazura dan pelakon dari Iran, Amir Rezazadeh, Janji Zehan pasti membuatkan penonton terbuai dengan perjalanan kisah cinta mereka yang romantis meskipun menghadapi beberapa konflik sewaktu berbulan madu.

Pada masa yang sama, penonton juga bakal menyaksikan panorama indah negara Asia Barat itu.

Lokasi dan Pelakon

Setiap naskhah yang dihasilkan, pasti ada idea atau ilham di sebaliknya.

Bagi Bernard pula, ada beberapa elemen membuatkan dirinya menghasilkan naskhah berkenaan termasuk memilih Iran.

“Salah satu sebab mengapa saya memilih Iran adalah kerana saya mahu mengembara ke negara Asia Barat itu.

“Saya tertarik dengan Iran kerana ia merupakan tempat bersejarah. Malah, di sebalik persepsi orang ramai yang seringkali membayangkan ia sebuah kawasan peperangan, Iran sebenarnya sebuah destinasi pelancongan yang indah, selamat selain kini orang ramai mudah untuk mengunjunginya,” jelasnya yang mengangkat keindahan lokasi-lokasi bersejarah sekitar Iran termasuk Shiraz dan Yazd dalam naskhah itu.

Berbicara mengenai pelakon pula, Bernard menjelaskan, Fazura merupakan antara picisan ilham yang membuatkan dirinya mahu membikin naskhah berkenaan.

“Tidak dinafikan, salah satu sebab mengapa saya menawarkan lakonan kepada Fazura adalah kerana sudah beberapa tahun saya tidak bekerjasama dengannya. Kerjasama terakhir kami adalah untuk filem Manisnya Cinta di Cappadocia.

“Bagaimanapun, saya bukan sahaja mahu mengembangkan karier bersama Fazura tetapi beberapa lagi pelakon lain termasuk Lisa Surihani, Bront Palarae, pelakon baharu serta pelakon luar negara,” ujarnya.

Realiti kehidupan

Selain ilham, setiap naskhah juga pasti akan menyelitkan pengajaran kepada penontonnya.

Bagi Zabrina Fernandez yang merangkap sebagai pengarah bersama, Janji Zehan sebenarnya sebuah naskhah yang banyak memfokuskan tentang situasi sebenar yang dihadapi oleh setiap pasangan.

“Janji Zehan bukan naskhah yang penuh dramatik tetapi ia memaparkan sesuatu yang realistik.

“Justeru, kami memberi fokus terhadap kehidupan suami isteri yang mana perkara kecil boleh mencetuskan pergaduhan kepada mereka seperti mana babak Arman (lakonan Amir) terlupa membawa bateri kamera sehingga menyebabkan kemarahan Zehan (Fazura),” ujarnya.

Meneruskan bicara, Zabrina memberitahu, naskhah ini turut memaparkan babak Fazura yang terlalu risaukan ibunya yang sedang sakit.

“Realitinya, memang seorang anak akan mengambil berat mengenai ibu bapa meskipun sudah mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Apa kata Fazura

Sementara itu, peneraju utamanya, Fazura mengakui dirinya berasa sedikit gusar ketika mengetahui akan menjalani penggambaran di Iran.

“Sejujurnya, saya memang seorang yang skeptikal. Malah, ahli keluarga dan rakan-rakan juga menyuarakan kerisauan ketika mendapat tahu saya akan ke Iran untuk menjalani penggambaran.

“Macam-macam perkara yang ada di fikiran mereka termasuk memikirkan sekiranya saya akan diculik. Bagaimanapun, ketika berada di sana, keadaannya tidak seperti yang dikhabarkan, malah penduduk di sana sangat baik,” ujarnya yang amat menjaga batasan ketika berlakon di sana.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu turut memberitahu, dirinya tidak begitu mempunyai cabaran dalam menggalas watak sebagai Zehan.

“Zehan adalah seorang penerbit TV yang tegas. Sikap tegas itu sama dengan diri saya yang sebenar.

“Justeru, saya tidak terlalu mempunyai cabaran dalam mendukung karakter berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, Fazura juga memberitahu, pengalaman bersama dengan Amir merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.

Janji Zehan yang mengambil masa penggambaran selama 12 hari mengisahkan tentang Zehan, seorang penerbit TV yang berjaya dan Arman, seorang usahawan makanan berasal dari Iran yang baru mendirikan rumahtangga.

Mereka menuju ke Iran untuk percutian bulan madu dan mahu mencipta sebuah pengalaman romantis dalam fasa baharu hidup mereka.

Bagaimanapun, pengalaman malam pertama mereka tidak seperti yang diharapkan.

Kedua-dua mereka mula menyedari akan kekurangan masing-masing dan disebabkan perkara-perkara kecil sahaja, Zehan dan Arman mula mempertikaikan sama ada keputusan untuk berkahwin di buat secara terburu-buru.

Sewaktu berada di sana, Arman juga telah menerima panggilan telefon daripada Faizal (lakonan Bront Palarae) sehingga mencetuskan kemarahan Zehan.

Apa sebenarnya yang berlaku? Mahukah Zehan memaafkan Arman? Saksikan pengakhiran Janji Zehan yang mula menemui penonton menerusi Astro First Eksklusif Saluran 480 dan platform digital on demand sejak 14 Februari lalu.