Menurut To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, 54, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari pusat beli-belah, Selayang Mall ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Gombak, Selangor.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, tiga orang lelaki yang menaiki dua motosikal menyerang saya menggunakan pisau.

“Mereka mahu merampas barang yang berada dalam bakul motosikal saya. Walhal barang-barang tersebut hanyalah alatan untuk saya melukis,” ujar To’ki ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Disebabkan kecederaan tersebut, To’ki yang pernah popular dengan lagu Seni Berzaman itu telah menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menyambung semula urat-urat tangannya yang terputus akibat serangan tersebut.

“Alhamdulillah, keadaan saya stabil kerana tiada kecederaan lain selain tangan kiri. Bagaimanapun saya belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” ujar To’ki.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez sempat melawat To’ki untuk memberi sokongan dan semangat kepadanya.

“Pihak Karyawan akan memberi sokongan dan memantau keadaannya. Tambahan, To’ki perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas ini kerana tangannya digunakan untuk bermain gitar.

“Saya berharap keadaan tangannya akan pulih seperti biasa memandangkan bermain muzik adalah punca rezeki utamanya,” tutur Freddie. - K! ONLINE