Bermula sebagai peserta pertandingan nyanyian One In A Million musim pertama pada tahun 2006, langkah Alif semakin rancak apabila single perdananya, Jangan Nakal diterbitkan.

Beberapa tahun bergelar penghibur di atas pentas, lelaki dengan nama penuh Muhammad Alif Mohd. Satar itu mula mengintai peluang dalam bidang lakonan.

Tidak lama menanam hasrat untuk bergelar pelakon, Alif diberikan peluang menjayakan drama pertamanya pada 2008 berjudul Dendam.

Bertitik tolak daripada percubaan pertamanya itu, Alif mula membina nama sebagai dramatis dan berjaya menambat hati penonton menerusi drama-drama popular seperti Dia Semanis Honey, Red Velvet dan Klik! Pengantin Musim Salju.

Seiring dengan kerjaya lakonan dan nyanyian, Alif turut diberi kepercayaan untuk mengacarakan program-program hiburan. Antara program hiburan kendaliannya termasuklah Idola Kecil, Clever Girl, Rockanova, Akademi Fantasia 2016 dan terbaharu, Big Stage.

Kepetahan menelurkan bicara telah membuka peluang untuk Alif mengendalikan rancangan bual bicaranya sendiri iaitu It’s Alif.

Menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang diraih, Alif, 28, dilabel peminat sebagai antara individu seni yang cemerlang pada tahun ini.

Khalayak berpendapat, momentum pemenang anugerah Artis Versatil Popular Anugerah Bintang Popular 2018 itu tidak pernah kendur malah semakin memuncak naik seiring peredaran waktu.

Tidak mahu selesa dengan label yang diberikan peminat, Alif menjelaskan, dia mahu mencuba lebih banyak perkara dan membuktikan keupayaannya dalam bidang seni pada masa depan.

“Apabila ada yang mengatakan tahun 2018 sebagai tahun Alif Satar, saya agak kurang bersetuju. Sejujurnya, saya berharap agar tidak dilabelkan sebegitu kerana mahu melakukan perkara yang lebih besar.

“Apa yang saya raih pada hari ini adalah disebabkan oleh kerja kuat saya tiga tahun lalu. Saya tidak pernah berhenti bekerja dan Alhamdulillah, ini hasilnya,” ujar Alif.

Melanjutkan bicara, penyanyi lagu Sesungguhnya Aku itu sentiasa merancang kariernya lebih awal bagi mengelakkan sebarang kekalutan.

“Selalunya, saya dan pihak pengurusan akan merancang kerjaya saya setahun lebih awal. Jadi, apabila tiba masanya, tiada sebarang masalah berlaku,” katanya lagi.

Muzik

Menyingkap karier nyanyiannya, Alif cukup dikenali sebagai penyanyi yang gemar menerbitkan lagu-lagu berentak santai.

Namun, Alif merasakan dirinya sebagai penyanyi serba boleh yang ingin mencuba pelbagai genre lagu jika diberi kesempatan.

“Apabila bercakap soal muzik, saya yakin boleh menyanyikan pelbagai jenis lagu. Latar belakang saya juga telah membuktikan yang saya mampu untuk menyanyi.

“Namun, dalam industri muzik arus perdana, kita perlu mengikut pasaran yang menginginkan penyanyi menyanyi lagu-lagu berentak pop. Bagaimanapun, saya suka dengan lagu-lagu santai, dekat dengan diri saya,” katanya jujur.

Sungguhpun ‘membesar’ dalam laluan muzik pop, jiwa besar Alif sebenarnya menginginkan sesuatu yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh peminat.

“Saya teringin untuk mencuba muzik jazz dan saya mempunyai band yang sering menyanyikan lagu-lagu jazz pada majlis-majlis tertutup.

“Biarpun masih pada peringkat awal, tetapi saya berharap dapat merakamkan lagu berentak jazz pada masa depan,” katanya yang mahu berkembang dalam bidang muzik dengan mencuba sesuatu yang berlainan.

Tidak mahu terlalu pesimis, Alif percaya muzik jazz mampu hidup di Malaysia biarpun ia bukanlah muzik dominan yang didengar oleh seluruh masyarakat.

“Lihat bagaimana Faizal Tahir yang pada asalnya bermula sebagai penyanyi rock akhirnya bertukar angin menyanyikan lagu berentak reggae menerusi Ragaman.

“Muzik jazz mempunyai pengikut yang tersendiri dan saya percaya, masih ramai di luar sana yang mahu mendengarkan lagu berbeza genre,” katanya yang pernah merakamkan lagu berentak jazz yang berjudul Akan Tiba suatu ketika dahulu.

Sukan

Sejak kebelakangan ini, Alif dilihat begitu aktif menyertai acara suka lasak. Terbaharu, dia berjaya menduduki tempat ke-446 pada kejohanan Ironman Langkawi 70.3 yang diadakan baru-baru ini.

Mencatatkan masa selama enam jam 42 minit, Alif mengharungi tiga fasa perlumbaan iaitu berenang sejauh 1.6 kilometer, berbasikal (90 kilometer) dan berlari (21.1 kilometer).

Mengakui perlumbaan separuh triathlon tersebut sebagai perkara sangat sukar, Alif bagaimanapun bersyukur kerana dapat dihabiskan dalam catatan masa yang baik.

“Saya tidak menghadapi kesukaran sewaktu berenang kerana itu kekuatan saya.

“Tetapi, saya benar-benar dicabar menerusi acara basikal dan larian kerana otot mulai kejang,” katanya.

Meletakkan bidang sukan sebagai eskapisme, Alif berkata dia, tidak akan berhenti dan akan mencuba lagi pada acara yang akan datang.

“Serik? Tidak. Insya-Allah, saya akan mencuba untuk melakukan yang lebih baik lagi tahun hadapan,” katanya menutup perbualan.