Ternyata, filem yang diadaptasi daripada novel itu punya aura tersendiri. Selepas 10 tahun, sekali lagi kisah yang mengangkat cerita mengenai kehidupan poligami itu meneruskan sekuel keduanya yang diberi judul Ayat-Ayat Cinta 2.

Apa yang pasti, naskhah daripada penulis Habiburrahman El Shirazy itu masih mengekalkan aktor Fedi Nuril selaku tunggak utamanya. Semestinya, bagi pengikut karya asal novel itu, mereka ternanti-nanti versi cerita yang digarap di layar perak.

Memandangkan ia sebuah karya kesinambungan cerita terdahulu, karakter yang didokong para pelakon juga digambarkan sudah menjalani peralihan sisi berbeza bersesuaian dengan latar masa. Dengan erti kata lain, ia memaparkan sebuah persembahan karakter yang lebih matang.

“Jika dalam Ayat-Ayat Cinta, saya merupakan pelajar sahaja, tetapi dalam sekuel ini, saya digambarkan sebagai seorang pensyarah. Jadi, secara tidak langsung, karakter itu juga sudah berubah. Apa yang saya lihat, watak saya juga menjadi lebih matang.

“Dahulu watak Fahri Abdullah merupakan seorang yang kekok apabila berdepan dengan wanita, tetapi dalam Ayat-Ayat Cinta 2 sudah tidak berasa canggung lagi. Karakter yang lebih tampak intelektual,” kongsi aktor utamanya, Fedi Nuril ketika ditemui Sensasi Bintang sewaktu bertandang ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Poligami

Lebih menarik, kata Fedi, pembabitannya dalam naskhah tersebut bukan sahaja atas tiket berlakon semata-mata. Bahkan, pada masa sama, banyak perkara yang dipelajarinya daripada filem itu.

“Apa yang saya pelajari dalam filem ini adalah bersikap adil itu sebenarnya bukan mudah, terutamanya apabila menyentuh hal berkaitan poligami seperti yang digambarkan dalam filem ini.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya dapat membahagikan masa dengan dua keluarga berbeza. Situasi itu memerlukan satu bentuk pengorbanan yang besar daripada seseorang yang bergelar suami seperti saya,” ceritanya.

Filem yang diarahkan oleh Guntur Soehardjanto itu menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Gaza, Palestin; Edinburgh, Scotland, London, England dan Budapest, Hungary.

Selain Fedi, Ayat-Ayat Cinta 2 turut menampilkan pelakon berbakat Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Dewi Sandra, Nur Fazura dan Bront Palarae.

Bagi Tatjana sendiri, dia memberitahu, berasa berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk bekerjasama dalam sebuah karya yang cukup popular suatu masa dahulu. Bagaimanapun, pada masa sama, Tatjana yang membawa watak sebagai Hulya mengakui berasa gementar, lebih-lebih lagi apabila dia bergandingan dengan seorang hero yang cukup berpengalaman.

“Filem itu menjadi fenomena di Indonesia ketika saya masih bersekolah. Jadi, kali ini saya sendiri tidak menyangka akan terlibat sama dalam sebuah karya berstatus pecah panggung.

“Apapun, saya sangat bersyukur kerana dapat banyak mempelajari banyak perkara baharu, lebih-lebih lagi apabila diberi peluang bergandingan dengan Fedi buat pertama kali,” katanya.

Pengorbanan

Antara yang menjadikan dirinya bimbang termasuk kritikan pembaca novel asal yang mungkin tidak bersetuju dengan perbezaan karakter di layar perak dan novel.

“Bagi pembaca novel, mereka mungkin sudah maklum mengenai watak Hulya yang digambarkan sebagai seorang yang memakai hijab. Sebaliknya, di dalam filem ini, saya tidak mengenakan hijab.

“Ya, mungkin ada yang pertikaikan hal tersebut. Bagaimanapun, dari awal lagi saya perlu bersedia daripada aspek mental dan fizikal untuk menerima sebarang respons,” kongsi pelakon berusia 21 tahun itu yang memberitahu perbezaannya hampir 90 peratus.

Biarpun terdapat perbezaan, katanya, hal itu sedikit pun tidak mengganggu mesej yang ingin disampaikan dalam filem tersebut. Apa yang lebih penting, katanya, penonton dapat menghayati dan mengambil sesuatu yang bermanfaat untuk dijadikan pengajaran daripada jalan ceritanya.

“Cerita ini bukan hanya cerita mengenai cinta sahaja. Banyak mesej positif yang cuba ditonjolkan mengenai pengorbanan, penghijrahan, semangat persaudaraan dan lain-lain lagi,” kongsinya.

Filem Ayat-Ayat Cinta 2 mengisahkan Fahri yang menjalani kehidupan sendirian bersama pembantunya, Hulusi di Edinburgh, Scotland selepas kehilangan berita mengenai isterinya, Aisha yang hilang sewaktu menjadi sukarelawan di Gaza.

Dek kesedihannya itu, dia cuba memujuk hati dengan menyibukkan diri sebagai pensyarah. Dalam menjalani kehidupannya itu, pelbagai konflik timbul di sekelilingnya hinggalah dia bertemu dengan Hulya yang juga sepupu kepada isterinya.

Peribadi Hulya secara tidak lang­sung menarik perhatian Fahri untuk mendekati wanita tersebut. Dalam diam, sebenarnya masing-masing bermain dengan perasaan sendiri. Sungguhpun begitu, situasi itu membuatkan Fahri dilema untuk terus memegang kepada cintanya bersama Aisha.

Filem tersebut sudah memulakan tayangannya di Indonesia pada 21 Disember lalu kini menemui penonton di pawagam negara ini bermula Khamis lalu.