Semakin diminati dan mendapat tempat dalam hati penonton, filem dari negara tersebut seperti Train To Busan, The Man From Nowhere dan Miracle In Cell No. 7 berjaya memecah tembok halangan yang selama ini memisahkan antara karya dari negara Asia dengan Barat.

Jika pada tahun 2016, peminat terpukul dengan kemunculan filem Train To Busan lakonan Gong Yoo yang berkisar tentang zombi. Tidak kurang hebatnya apabila naskhah fantasi dan aksi Along With The Gods kini telah mengambil alih kedudukan itu.

Diterajui oleh pelakon berpengalaman dan serba boleh Ha Jung-woo, setakat ini Along With The Gods 2: The Last 49 Days mencatat kutipan AS$90 juta (RM372 juta) di beberapa buah negara yang menayangkannya iaitu Taiwan, Hong Kong, Amerika Utara, Australia dan New Zealand.

Di Malaysia, tayangannya baru bermula pada 30 Ogos lalu.

Menerusi sekuel ini, naskhah arahan Kim Yong-hwa itu mengisahkan tentang tiga orang malaikat maut yang membantu seorang roh untuk melalui tempoh 49 hari selepas kematiannya.

Penonton disajikan dengan plot cerita tentang sejarah lampau ketiga-tiga malaikat maut tersebut iaitu Gang-rim (Ha Jung-woo), Hae Won-mak (Ju Ji-hoon) dan Lee Deok-choon (Kim Hyang-gi).

Ironi, kejayaan filem itu di layar lebar di negara luar sukar ditebak kerana ia berkisar tentang kehidupan selepas mati iaitu satu perihal yang sangat dekat dengan isu agama iaitu kepercayaan dalam kalangan penganut Buddha.

Namun Ha Jung-woo percaya, hal itu juga menjadi salah satu faktor mengapa ia mudah diterima oleh ramai penonton meskipun daripada latar belakang negara yang berbeza.

“Saya fikir mengapa sebuah naskhah fantasi seperti ini mampu diterima adalah kerana ia berkongsi kefahaman yang sama dalam kepercayaan Buddha terutama di sekitar rantau Asia.

“Tidak dinafikan ramai antara mereka yang sebenarnya berminat dengan kehidupan selepas mati dan konsep cerita yang dijalurkan dalam naskhah ini berjaya diekspresikan dengan baik,” katanya menerusi satu temu bual bersama portal Korea Times.

Malah tambah Jung-woo, fenomena yang berjaya ditempa industri muzik K-pop turut menjadi pembuka jalan buat lebih banyak karya dari negara itu untuk diterima dengan baik.

“Kumpulan BTS dan Psy juga mempunyai peranan besar dalam meluaskan kuasa muzik K-pop di serantau dunia. Jadi saya fikir sekarang adalah masanya untuk giliran K-filem melakukan hal serupa.

“Meskipun saya akui industri perfileman Korea Selatan berhadapan masalah seperti kekurangan diversiti genre, namun saya percaya kualiti yang ada pada Along With The Gods mampu menyaingi naskhah dari Hollywood,” ujarnya optimis.

Edisi pertama filem itu, Along With The Gods: The Two Worlds ditayangkan pada Disember tahun lalu dan dicatatkan sebagai naskhah kedua paling banyak ditonton dalam sejarah perfileman Korea Selatan iaitu melebihi 14 juta penonton.

Naskhah yang menelan belanja sebanyak 40 juta won bersamaan AS$36 juta (RM148 juta) itu turut mencatat kutipan pecah panggung di Taiwan dan Hong Kong.

Francais Along With The Gods mempunyai empat edisi dan dua sekuelnya bakal ditayangkan pada tahun depan. Malah syarikat produksi Realies Pictures mengumumkan bahawa sekuel pertama filem tersebut bakal diadaptasi ke televisyen dan menemui penonton pada 2019.

Kekok

Bercerita tentang pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran naskhah yang banyak menggunakan teknik grafik komputer itu, Jung-woo yang terkenal menerusi filem Take Off itu berkata, dia terpaksa berhadapan dengan banyak kejadian ‘memalukan’.

Manakan tidak, dia perlu beraksi secara bersendirian di hadapan skrin biru untuk banyak babak aksi sedangkan dalam fikirannya pada waktu itu hasilnya akan kelihatan berbeza.

“Walaupun pada awalnya saya akui sangat sukar untuk berlakon dalam filem yang banyak menggunakan kesan khas seperti ini, namun ternyata keputusannya sangat menakjubkan.

“Misalnya dalam babak saya dikejar dinosaur, pada ketika itu kepala saya membayangkan sesuatu agar tahu arah mana perlu saya melihat,” tuturnya yang kini berusia 40 tahun.

Mengenali sisi kehidupan Jung-woo, dia yang dilahirkan dengan nama Kim Sung-hoon sememangnya membesar dalam keluarga seni.

Bapanya Kim Yong-gun merupakan aktor terkenal yang banyak muncul dalam beberapa filem dan drama, manakala adiknya Kim Young-hoon atau nama pentasnya, Cha Hyun-woo juga merupakan seorang aktor.

Mula menanam hasrat bergelar pelakon sejak usia lima tahun, impian seni Jung-woo perlahan-lahan terlaksana selepas menyertai latihan ketenteraan pada 1998.

Dia ditugaskan pada bahagian Jabatan Perhubungan Awam Angkatan Tentera Korea Selatan dan pada ketika itulah dia menggunakan pengalaman dan ilmu yang dituntut dalam bidang teater di Universiti Chung-Ang, Seoul, Korea Selatan untuk muncul dalam 10 buah filem promosi ketenteraan.

Selang empat tahun kemudian, Jung-woo memulakan debut lakonannya menerusi sitkom Honest Living sebelum muncul dalam filem pertamanya, Madeleine pada 2003.

Sehingga lima tahun kemudian, barulah namanya meniti di bibir peminat menerusi filem The Chaser selepas ia mencatat kutipan pecah panggung dan menerima banyak anugerah.

Menerusi filem itu jugalah, bakat Jung-woo dipuji oleh pengarah dari Amerika Syarikat, Martin Scorsese yang menyifatkan dia mempunyai potensi besar seperti dua hero ternama Hollywood iaitu Leonardo DiCaprio dan Matt Damon.

Pelukis

Telah berlakon dalam 25 buah filem setakat ini, hakikatnya di sebalik gemerlapan populariti dunia seni, Jung-woo sebenarnya mempunyai bakat lain yang tidak kurang hebatnya iaitu sebagai seorang pelukis.

Dia pernah membuat pameran solo pada tahun 2010 yang membawa kepada kemunculannya dalam dunia seni lukis, sekali gus berlanjutan kepada pamerannya yang berjudul Vacation yang berlangsung pada Julai 2011.

Kebanyakan lukisan Jung-woo pada pameran itu diinspirasikan daripada percutiannya di banyak bandar utama dunia seperti Rome, Naples dan Florence di Itali, Barcelona, Sepanyol dan London, United Kingdom.

Kata Jung-woo yang juga merupakan seorang pengarah dan penulis skrip, semua lukisan yang dihasilkan adalah refleks suaranya kepada umum.

“Biarpun saya boleh menonjolkan diri sebenar menerusi karakter dalam filem, hakikatnya ia adalah acuan daripada pengarah dan jalan cerita, bukannya daripada saya sendiri,” katanya yang masih belum berkahwin meskipun pernah menjalin hubungan dengan model Gu Eun-ae pada 2008 sebelum berpisah empat tahun kemudian.

Hasil lukisan Jung-woo digambarkan sangat dekat dengan karya sentuhan pelukis dari Amerika Syarikat, Jean-Michael Basquiat kerana kebanyakannya memiliki tona warna yang terang dan komposisi menarik.

“Kehidupan sebagai seorang aktor membuatkan saya berasa seperti hidup dalam peperangan yang tidak nampak pada mata kasar. Melukis adalah ubat penenang dan ia membuatkan saya berfikiran rasional.

“Ia bukanlah satu hobi, tetapi cukup jika saya katakan melukis adalah cara untuk meneruskan perjuangan hidup sebagai seorang pelakon,” ujarnya penuh makna.

Selain melukis, Jung-woo juga pernah menghasilkan kompilasi esei berjudul Ha Jung-woo, Good Feeling yang bercerita tentang pandangannya terhadap beberapa pelukis ternama dunia termasuk Pablo Picasso.