Ketika itu, kalau ditanya kugiran mana paling menjadi bualan ramai, pastinya ATM antara yang menjadi pilihan peminat.

Sehinggalah pada hari ini, band yang dianggotai oleh Akim Ahmad, Zarimi Zahari, Freddy, Faiz Azizi Arlis, Hafeez As’ad Azam, Rajwan dan Faoq itu masih ‘bernafas’, namun impaknya tidak sekencang dahulu.

Terdapat segelintir peminat yang menagih cetusan muzik seperti Mewangi, Potret mahupun Obses, namun mereka lupa, karya ATM juga seharusnya berevolusi. Dalam erti kata lain, band itu bebas untuk mencuba jenis muzik baharu, sekali gus memberikan kelainan serta warna kepada industri muzik tanah air.

“Ramai juga yang tidak berpuas hati mengapa muzik kami tidak lagi seperti dahulu. Alasannya, kami tidak mahu ketinggalan. Muzik ATM tetap seperti dahulu, namun perlukan pembaharuan dan ingin mencetuskan evolusi.

“Kami tidak suka duduk dalam zon selesa dan hanya berpuas hati dengan apa yang sudah dikecapi. Sebagai pemuzik, kami bebas untuk melakukan eksperimen dan sentiasa inginkan sesuatu yang segar.

“Ingin kekal komersial dan relevan bukan mudah, namun percayalah, kami juga inginkan yang terbaik demi peminat,” jelas Zimi atau nama lengkapnya, Zarimi Zahari selaku ketua kumpulan.

Usah dilupakan, selain menggerakkan ATM, Akim dan Zimi turut menjadi rebutan ramai sebagai pencipta lagu. Sebagai bukti, lagu-lagu ciptaan mereka seperti Warkah Buat Kekasih dan terbaharu, Bunga dendangan Ara mudah mencuri perhatian pendengar.

Apabila diterbangkan soalan berkenaan kerelevanan mereka sebagai sebuah kugiran. Akim menjawab dengan tenang. Sama ada masih ada rezeki untuk band tersebut disambut dengan kemenangan di pentas AJL, suami kepada ratu tari, Stacy itu mempunyai jawapan tersendiri.

“Mahu bertanding di pentas AJL setiap tahun mungkin agak sukar buat kami. Rezeki sebegitu bukan datang setiap masa. Bagi kami, dapat masuk Muzik-Muzik pun sudah suatu pencapaian luar bisa.

“Kalau dapat masuk AJL kira satu bonus buat band ini. Satu perkara yang kami pegang dari mula sehingga sekarang, setiap karya yang dihasilkan, kami perlu berseronok ketika menghasilkannya, barulah melodi yang jujur dapat dikongsi bersama pendengar,” kata Akim.

Bukan stereotaip

Terbaharu, ATM muncul dengan single terbaharu berjudul Stereotype yang amat berbeza dengan identiti muzik mereka sebelum ini.

Sekali lagi mempertaruhkan karya sendiri, Stereotype merupakan hasil gandingan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq.

Lagu berentak retro rock Electronic Dance Music (EDM) itu diterbitkan oleh Rhythm & Rhytme Entertainment iaitu syarikat rakaman milik Akim dan Stacy dengan kerjasama Nova Music sebagai pengedar.

“Kali ini kami mencuba konsep baharu yang belum pernah dibuat lagi di Malaysia. Konsep dalam Stereotype itu lebih kepada stail muzik itu sendiri, namun kami tetap mengekalkan bunyi khas kami yang selama ini membezakan kami dengan band lain,” ujar Zimi.

Lari daripada tema cinta, Stereotype mengambil tema tentang perwatakan manusia egois. Mengikut perancangan awal, lagu itu sepatutnya dinyanyikan oleh penyanyi wanita, namun tidak dapat direalisasikan.

“Saya dapat idea lirik ini apabila kami duduk bercerita pengalaman kami waktu sekolah dulu. Lagu ini sebenarnya tentang ego lelaki yang tinggi, yang acah dia paling hebat dan sentiasa ingat dia selalu betul.

“Lagu ini sepatutnya sudah diberi kepada dua orang penyanyi wanita, namun tiada rezeki untuk mereka. Akhirnya” ATM sendiri yang menyanyikannya.

“Sedangkan Stacy sendiri ada mengutarakan hasrat untuk merakamkan lagu ini, namun kami bertegas merakamkannya kerana inginkan pembaharuan,” jelas Akim.

Apabila ditanya tentang metafora berbaur kritikan sosial dalam lirik lagu berkenaan, Akim menjawab:

“Ya, memang ada kaitan dengan isu semasa, namun bukan isu di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia. Sebagai penggiat seni, saya cuba zahirkan apa yang berlaku di sekeliling kita melalui perkongsian karya.”

Klip video Stereotype dirakam sepenuhnya di Play K-Pop yang terletak di Jeju Jungman Resort, Pulau Jeju, Korea Selatan. Lokasi berkenaan merupakan taman tema digital yang menggabungkan teknologi media baharu dan muzik K-Pop.

Stereotype menampilkan kelainan apabila ia dirakam di ruang digital yang penuh dengan imej digital, 3D dan hologram bintang-bintang terkenal K-Pop.

Bergaduh dengan Stacy

Stacy yang turut hadir ketika majlis pelancaran single tersebut berkata, dia pernah bermasam muka dengan Akim gara-gara lagu terbaharu nyanyian suaminya bersama ATM.

Kata Stacy, 27, berikutan terlalu suka dengan melodi lagu berkenaan, dia cuba memujuk suaminya supaya memberikan karya terbabit kepadanya, namun permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh Akim.

“Apabila mendengar melodi lagu itu, saya sangat tertarik kerana ia memang ‘makanan’ saya. Lagu terbabit sebenarnya mahu diberikan kepada artis lain tetapi disebabkan masalah tertentu, ia tak dapat diteruskan.

“Jadi, saya cubalah minta daripadanya, tetapi dia enggan memberikannya malah, dia lebih rela menyanyikannya sendiri walaupun lagu itu lebih sesuai untuk penyanyi wanita.

“Memang saya sakit hati jugalah dengan tindakannya, sehingga kami bertegang leher. Apa pun, saya takkan berputus asa dan tetap akan merakamkannya suatu hari nanti. Mungkin selepas dua tiga bulan lagu itu dilancarkan,” kata Stacy.

Sementara itu, ketika ditanya apakah dia mengizinkan lagu berkenaan dirakamkan semula oleh isterinya, Akim, 27, tiada mempunyai masalah dengan keinginan Stacy.

“Saya memang tiada masalah jika ada mana-mana pihak mahukan Stacy menyanyikan lagu itu. Saya pula tidak memberikan naskhah terbabit kepadanya kerana saya mahu mencipta kelainan terhadap muzik kumpulan kami.

“Tiada masalah juga andai peminat lebih suka Stereotype versi Stacy kalau dia sudah rakamkan versinya nanti.

“Saya juga tidak menolak seandainya lagu tersebut berjaya masuk Muzik-Muzik atau AJL kerana Stacy akan menyanyikan lagu itu dengan stail tersendiri,” kata Akim yang turut mendedahkan akan muncul dengan video animasi yang diberi nama ATM Kids di YouTube tidak lama lagi.

Lagu Stereotype terbitan Rythm & Rhyme Entertainment yang ditubuhkan sekitar pertengahan tahun lalu milik pasangan suami isteri popular itu kini boleh didapati di semua platform digital.