Anak jati Kuala Lumpur yang kini bergelar pemain piano, penerbit, penyusun serta konduktor muzik selain mengetuai sebuah kumpulan muzik itu mula mencipta nama di arena antarabangsa menerusi video muzik bertajuk 'Revival' yang diterbitkan dan diarah sendiri olehnya pada Disember 2015, disusuli konsert pertamanya dengan tajuk sama di Berklee College of Music di Boston, Masachussets pada 29 Februari 2016.

"Pada 2012, saya menyertai 'Berklee Transfer Programme' yang ditawarkan di International College of Music (ICOM) di ibu negara. Saya di sana selama dua tahun dan di situlah saya didedahkan kepada muzik kontemporari," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya, pada peringkat awal beliau mengalami kesukaran mengikuti pengajian kerana muzik kontemporari berbeza dengan klasik namun beliau sedar bidang itu penting sebagai persediaan untuknya ke Berklee College of Music di Amerika Syarikat (AS).

Mengulas kehidupannya di AS dari tahun 2014 hingga 2016, Foong berkata, beliau bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kolej selain tugasan yang sukar tetapi pada masa sama perlu membuktikan pemuzik wanita sepertinya juga mampu melakukan apa sahaja setanding dengan pelajar lelaki.

Antara pengalaman paling berharg buatnya setakat ini ialah menjadi membuat persembahan pembuka tirai jelajah Richard Clayderman di sini pada tahun 2013 serta menyanyi bersama Berklee Gospel Choir dengan pemenang Anugerah Emmy, Chris Tomlin pada jelajah 'Love Ran Red' penyanyi itu di Lowell, AS pada 2015.

Kini wanita muda itu dalam proses menerbitkan single lagu gospel pertamanya yang akan menampilkan penyanyi dan penulis lirik AS, Tyesha Chaunte.

"Saya berhasrat memanfaatkan keupayaan dan pengalaman yang saya peroleh di seberang laut ini untuk menaikkan industri muzik tempatan," katanya. - Bernama