Pada zaman berkenaan, pelarian Vietnam ditempatkan di Pulau Bidong, Terengganu sebagai tempat untuk perlindungan sebelum dihantar ke negara ketiga melalui temu duga yang dijalankan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Memilih isu pelarian sebagai subjek penceritaan, idea penerbitan filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu ketika pengarahnya, Yusof Kelana menjalani penggambaran sebuah dokumentari di Hanoi, Vietnam tidak berapa lama dahulu.

“Jalan ceritanya agak menarik dan saya memulakan kajian untuk menghasilkan skrip serta lakon layar bagi filem ini selama enam bulan.

“Malah, saya juga bertemu dengan beberapa orang bekas pelarian Vietnam yang kini menetap di Australia yang membuat lawatan khas di Pulau Bidong.

“Dari situ, saya mula mencungkil pengalaman mereka ketika berada di pulau tersebut,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di MM Cinepelex, ECurve, Damansara baru-baru ini.

Kongsi Yusof, pemilihan isu berkenaan sebagai subjek penceritaan kerana ia pernah menjadi topik hangat negara, selain mahu menerbitkan filem yang lain daripada lain.

“Saya mementingkan jalan cerita dan jika kita tidak hasilkan filem sebegini, siapa lagi.

“Saya juga turut mengetengahkan barisan pelakon baharu yang kebanyakannya berlakon buat kali pertama tetapi saya berpuas hati dengan komitmen dan mutu lakonan mereka,” katanya.

Kongsinya lagi, pihaknya mengambil langkah berani walaupun mengetahui genre sebegitu kurang mendapat sambutan dalam kalangan peminat tanah air.

“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana genre sebegini kurang digemari.

“Bagaimanapun, kami ada perancangan untuk memasarkan filem ini di luar Malaysia seperti Filipina dan China tetapi ia masih pada peringkat perbincangan,” jelasnya.

Empat bahasa

Pelakon utamanya, Irene Wong pula berkata, Bidong: The Boat People merupakan naskhah pertama yang memberi kepercayaan buatnya membawakan watak besar di layar perak.

“Watak ini bukan mudah kerana saya perlu banyak menangis, bahkan ia menggunakan empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Vietnam dan Kantonis.

“Saya juga perlu bertutur dalam bahasa Vietnam. Ia sangat mencabar tetapi saya bertuah kerana diberi peluang berlakon dalam filem ini,” katanya.

Seorang lagi pelakon, Taufik Hanafi pula berdepan cabaran bertutur dalam bahasa Inggeris mengikut tatabahasa yang betul.

“Filem ini menggunakan hampir 70 peratus bahasa Inggeris dan saya mengambil masa selama sebulan untuk bertutur menggunakan sebutan yang betul,” katanya.

Filem terbitan YKS Film Maker Sdn. Bhd. yang menjalani penggambaran di sekitar Kemaman, Pulau Bidong, Kijal dan Kuala Terengganu sejak dua tahun lalu itu bakal ditayangkan pada 1 Mac depan.

Bidong: The Boat People mengisahkan Kien Bi Dong yang dilahirkan di Pulau Bidong kembali semula selepas hampir 40 tahun meninggalkan pulau tersebut bersama ibunya, Hong Yen yang juga merupakan bekas pelarian Vietnam.

Sejarah hitam yang dilalui Hong Yen meninggalkan kesan mendalam kerana kehilangan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun akibat peperangan.

Kien Bi Dong dan Hong Yen yang menetap di Australia menjejakkan kaki ke Pulau Bidong selepas diaturkan oleh seorang kenalan Facebook dikenali sebagai Adib.