Selepas sembilan hari hilang ketika berada dalam jagaan sepasang suami isteri di Bandar Baru Semenyih bagi tujuan mengawan, Pekan yang berbaka British Short Hair itu ditemui dengan selamat pada pagi Khamis lalu.

Biarpun begitu, Rita tekad untuk meneruskan siasatan kes kehilangan kucing kesayangannya.

Menurutnya, beliau mendapati terlalu banyak percanggahan fakta dan keraguan berhubungan kehilangan dan cara kucingnya ditemui.

Mengesyaki Pekan berkemungkinan mahu dijual memandangkan harga kucing berbaka British Short Hair boleh mencecah sekitar RM2,000 hingga RM4,000 seekor, Rita mahu siasatan diteruskan sebagai amaran agar perkara yang sama tidak berulang.

KOSMO!: Bagaimana perasaan Rita selepas Pekan ditemui dalam keadaan selamat?

Rita Rudaini: Saya bersyukur dan gembira kerana akhirnya Pekan ditemui. Bayangkan selama kehilangannya kami sekeluarga tidak lena tidur, malah selama tiga malam saya mencari Pekan di kawasan sekitar Bandar Baru Semenyih.

Meskipun Pekan kelihatan trauma, penat dan agak kurus semasa ditemui, dia disahkan berada dalam keadaan sihat selepas saya membawanya ke klinik haiwan pada Khamis lalu.

Adakah anda sedar ramai menyifatkan kehilangan kucing sebagai isu yang remeh dan tidak perlu sehingga membuat laporan polis?

Saya sedar ramai yang ketawa dan anggap itu isu remeh. Namun, Pekan sudah dianggap seperti ahli keluarga dan saya amat bimbangkan keselamatannya.

Selain itu, ramai yang tidak tahu terdapat isu lain yang lebih besar daripada kehilangan Pekan iaitu sindiket pemerdagangan kucing secara haram.

Selepas kehilangan Pekan menjadi tular, saya menerima banyak mesej daripada orang ramai yang turut berdepan masalah yang sama.

Maksudnya ada pihak cuba menjual kucing secara haram?

Menjual kucing tidak salah, tetapi apa yang menjadi kesalahan adalah mencuri kucing orang lain dan menjualnya dengan harga tinggi. Sebenarnya perniagaan menjual kucing boleh mengaut keuntungan yang tinggi bergantung kepada baka.

Bagaimanakah Pekan boleh hilang?

Saya meminjamkan Pekan kepada sepasang suami isteri yang tinggal di Bandar Baru Semenyih bermula 1 Januari lalu bagi tujuan mengawan.

Mereka merupakan kenalan saya sendiri, sebab itu saya berani untuk meminjamkan Pekan. Apa yang mengejutkan sehari kemudian iaitu pada 2 Januari lalu, mereka mendakwa Pekan telah hilang kerana meloloskan diri daripada sangkar.

Apakah yang mendorong anda untuk membuat laporan polis?

Saya berasa sangsi kerana mereka bukan sahaja tidak memberi kerjasama, tetapi informasi yang diberikan agak bercelaru.

Siasatan awal polis juga menunjukkan terdapat banyak keraguan dalam kes kehilangan Pekan. Begitu juga dengan cara penemuannya. Selepas saya mengugut mahu tularkan gambar pasangan suami isteri berkenaan, tiba-tiba sahaja mereka memberitahu Pekan telah ditemui.

Mengapakah siasatan masih diteruskan meskipun Pekan telah ditemui?

Saya mahu menuntut keadilan bukan sahaja untuk Pekan, tetapi pemilik kucing lain yang menerima nasib sama.

Pihak polis sendiri berasa sangsi dan mereka mahu meneruskan siasatan bagi merungkai kebenaran di sebalik kehilangan Pekan.

Apakah pengajaran yang anda peroleh daripada kehilangan Pekan?

Jangan sesekali meletakkan kepercayaan meskipun terhadap orang yang dikenali. Selepas ini saya tidak akan meletakkan kucing saya dalam jagaan orang lain.

Orang yang benar-benar sayangkan kucing sahaja tahu perasaan perit kehilangan kucing yang telah dijaga seperti anak sendiri.

Adakah ini pengalaman pertama anda ditipu berkaitan kucing?

Sebelum ini saya pernah ditipu seorang penjual kucing. Saya membeli seekor anak kucing pada harga RM900, tetapi dia memberi anak kucing yang sakit kepada saya.

Disebabkan tiada pengalaman membeli dan menjaga kucing ketika itu, saya menerima sahaja. Selepas sedar ditipu, penjual tersebut sudah tidak dapat dihubungi.

kosmo