Lebih menarik, filem terbitan Asia Tropical Films itu merupakan inspirasi daripada kisah benar yang mengetengahkan kejayaan pasukan elit tersebut dalam melaksanakan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada tahun 1998.

Bukan itu sahaja, penghasilan jalan cerita Paskal juga turut diinspirasikan daripada kejayaan Paskal merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dalam kejadian di Teluk Aden pada 2011.

Diarahkan oleh pengarah Adrian Teh, filem yang dijangka menemui penonton pada bulan depan itu menampilkan gandingan barisan pelakon yang cukup berbakat antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Henley Hii, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Teruja

Bagi pelakon utamanya, Hairul, pemilihan dirinya untuk menjayakan filem Paskal itu disifatkan sebagai satu peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan. Tambahan pula, dirinya juga cukup sinonim dalam menjayakan watak-watak aksi yang sememangnya sudah menjadi jiwanya.

Dalam keterujaan menggalas watak utama, hakikat sebenar, kata Hairul dia menggalas tanggungjawab yang cukup besar kerana secara tidak langsung dia membawa imej pasukan elit tersebut kepada umum di luar sana. Justeru, dia perlu banyak melakukan kajian dan latihan bagi membolehkan dirinya benar-benar layak untuk menggalas watak tersebut.

“Kalau ikutkan sebenarnya, dari kecil lagi memang saya pernah memasang impian untuk bergelar tentera, cuma tidak ada rezeki ke situ. Jadi, apabila saya ditawarkan untuk membintangi filem Paskal ini, sekurang-kurangnya impian saya dahulu seperti menjadi satu realiti walaupun sekadar berlakon.

“Ini kerana, kami bukan sahaja setakat berlakon, tetapi pada masa sama menjalani latihan di kem tentera bersama anggota Paskal sebenar. Jadi, di situlah saya dapat merasai sendiri secara lebih dekat bagaimana rutin dan latihan yang perlu dilalui anggota elit tersebut,” katanya yang menjalani sesi latihan di Lumut, Perak.

Menurut Hairul lagi, bagi menjayakan wataknya, dia perlu mempersiapkan diri khususnya daripada aspek fizikal yang menuntutnya banyak melakukan babak-babak aksi. Katanya, demi menjayakan filem berkenaan, dia juga membuat sedikit perubahan imej.

Selain memerlukan dirinya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram, Hairul juga tampil dengan imej bermisai untuk disesuaikan dengan karakter dirinya agar tampak lebih garang.

“Orang selalu cakap saya berwajah keanak-anakan, jadi dalam filem ini saya cuba tampil dengan imej yang sedikit berbeza.

“Bukan itu sahaja, dalam melakukan persiapan sebelum penggambaran berlangsung, saya dan kawan-kawan juga banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk memastikan badan betul-betul mempunyai stamina yang cukup untuk berdepan dengan babak yang penuh dengan lagak aksi,” katanya yang turut mengambil kelas lakonan bagi memantapkan kemahiran lakonan sedia ada.

Filem yang merangkumi kira-kira 90 peratus aksi itu menjalani penggambaran di beberapa lokasi di dalam dan di luar negara antaranya di Lumut, Perak; Semporna Sabah dan Maghribi pada Mac sehingga Mei lalu.

Cabaran

Sementara itu, bagi pelakon Ammar Alfian pula, dia menyifatkan filem Paskal sebagai sebuah naskhah yang lari daripada watak klise yang sering dijayakannya sebelum ini. Secara tidak langsung, ia memberi satu cabaran baharu buatnya sebagai pelakon.

Mengakui bukan mudah menjayakan filem tersebut, kata Ammar dia perlu mempunyai ketahanan dan kemampuan setanding dengan anggota Paskal sebenar.

“Boleh katakan, filem inilah yang antara saya sendiri tunggu untuk jayakan kerana lain daripada yang lain.

“Antara yang susah sekali apabila saya perlu menjalani latihan cara menyelam dan mengikuti sesi latihan berenang yang cukup berbeza. Biarpun ia satu cabaran yang besar tetapi pembabitan filem ini banyak memberi satu pengalaman yang bermakna,” katanya yang berasa bangga apabila berpeluang menyarungkan pakaian rasmi anggota Paskal buat pertama kali.

Sungguhpun sudah mempunyai bentuk badan yang sasa, dalam menjayakan filem ini, Ammar perlu mengurangkan berat badannya bagi memastikan selari dengan saiz seorang anggota Paskal.

“Bagi filem ini, saya perlu kurangkan berat sebanyak 20 kilogram daripada berat asal sebanyak 95 kilogram. Jadi, untuk itu, saya perlu mengubah diet harian saya agar benar-benar mengikut kehendak pengarah,” katanya yang mengakui bukan mudah untuk menjadi seorang anggota Paskal kerana perlu mempunyai daya ketahanan fizkal dan mental.

Sementara itu, bagi pelakon Jamine Suraya Chin pula, katanya, dia cukup teruja untuk menantikan naskhah tersebut yang dijangka ditayangkan pada 27 September depan.

“Saya cukup kagum dengan komitmen yang diberikan oleh para pelakon lelaki khususnya yang cukup berani berdepan dengan pelbagai cabaran sewaktu menjalani penggambaran.

“Bahkan saya juga banyak bermain dengan emosi kerana memegang watak isteri kepada seorang anggota Paskal yang kemudian berdepan dengan insiden yang tidak diingini,” katanya.

Biarpun banyak menjalani penggambaran di lokasi sebenar bagi mendapatkan hasil yang lebih berkualiti, filem Paskal itu turut menggunakan bantuan teknik janaan komputer untuk beberapa babak.

Dijangka menemui penonton pada 27 September depan, filem Paskal menceritakan kisah Leftenan Komander Arman Anwar yang diserap semula bagi menyelesaikan satu misi khas selepas kehilangan rakan setugasnya.