Menurut pengarah Paskal, Adrian Teh tidak menyangka dengan sambutan penonton dan terharu lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu terdapat penonton yang bertepuk tangan sebaik sahaja filem tamat.

“Sebagai pengarah sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini. Ramai rakan menghantar pesanan kepada saya mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada usaha saya dan pasukan produksi kerana menghasilkan filem ini.

“Menerusi media sosial juga ada yang meninggalkan komen penonton bertepuk tangan selepas filem tamat. Ia benar-benar membuatkan saya terharu apabila penonton menghargai hasil kerja saya,” katanya.

Mula ditayangkan pada 27 September lepas, Paskal The Movie mengangkat kisah perjuangan anggota elit, Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain Malaysia, naskhah yang dibarisi pelakon Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit dan Jasmine Suraya Chin itu sudah ditayangkan di Brunei. Negara Singapura pula bakal menyayangkan filem berkenaan pada 8 Oktober ini. - K! ONLINE