Jika dilihat dari segi perkembangan karakter, kehadiran beberapa watak seperti Nayan (Ropie Cecupak), Yeh Sekupang (Rab Khalid) dan Wani (Sharwani) menjadikan naskhah berkenaan semakin meriah dan penuh dengan unsur lelucon.

Tiada lagi kemunculan watak Pak Jabit (Man Kadir), Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail), Usop Wilcha (Shy8) dan Abi Hurairah (Johan) yang pernah mencuit ketawa penonton dengan keletah mereka dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR).

Mamat dilihat mencipta perkara baharu dalam HKL terutamanya dari soal perbentukan watak tanpa perlu terikat kisah lama.

Dalam kes tersebut, tidak keterlaluan jika kehadiran Nayan lakonan Ropie berjaya disifatkan berjaya ‘membunuh’ Hussin (Awie) dalam bab humor.

Contohnya dalam babak berdepan hantu Kak Limah, biarpun tanpa watak lain, penampilan Ropie berjaya membuatkan penonton ketawa pecah perut.

Dengan lontaran dialog yang kelakar dan kelihatan spontan, Mamat berjaya melakar watak Nayan secara kemas walaupun tidak jauh lari daripada apa yang sering dilihat di kaca televisyen.

 

Tukar

Malah, kemunculan ramai bintang undangan (cameo) seperti Erra Fazira, Datuk Seri Vida, Jue Aziz dan Mus May memberi lebih variasi selain menguatkan jalan cerita.

Jika sebelum ini Mamat berjaya mengubah karakter dan personaliti rock serta kasar pada diri Awie, kali ini beliau berjaya mengubah acuan lakonan Zul Ariffin. Zul yang begitu sinonim dengan karakter lelaki romantik dan digilai wanita ditukar menjadi seorang yang kelakar dan tidak lagi mempedulikan ketampanan wajah.

Pendek kata, Mamat mengeluarkan isi karakter dalam diri Zul yang selama ini terperangkap dalam sisi lelaki tampan dan sasa kemudian mewarnakannya secara penuh bersahaja.

Itulah air tangan Mamat. Beliau mampu ‘mengkomedikan’ sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Cuma ada beberapa perkara yang diulang dalam filem ini. Contohnya dialog yang dilontarkan Hussin iaitu: “Tak tengok AF (Akademi Fantasia) ke Kak Limah?”

Mungkin pengulangan tersebut sengaja dibuat demi mengembalikan memori dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah selain faktor populariti yang dekat dengan penonton, namun daripada satu sisi lain, ia kelihatan seperti kekurangan idea segar untuk menjentik ketawa penonton.

Sepanjang hampir dua jam durasi tayangan, ada beberapa babak yang boleh dikategorikan ‘tidak mengapa jika tidak wujud’ kerana ia sedikit pun tidak mencacatkan jalan cerita.

Contohnya, babak Hussin, Solihin dan Khuda terserempak hantu Jepun meskipun menurut Mamat, ia diilhamkan daripada babak dalam filem P. Ramlee berjudul Pendekar Bujang Lapok.

Kesimpulannya, HKL menjanjikan sebuah tontonan yang cukup menghiburkan dan santai tanpa perlu mengerah kepala memikirkan jalan cerita yang tersirat. Penyataan lain untuk Mamat, beliau anak seni yang terkenal dengan naskhah satira yang dekat dengan kehidupan bermasyarakat.

Cukup dengan hanya meletakkan komedi sebagai akar cerita, ia mampu menjadi sebuah naskhah yang akan dikenang sepanjang zaman. Beliau kekal sebagai pengarah prolifik yang unggul dengan karya komedi terbaik.