Tanggal 30 Jun lalu menjadi tarikh keramat buat peminat tegar grup muzik berasal Surabaya ini. Malah, melihatkan wajah-wajah yang hadir di malam ‘pesta’ tersebut boleh dianggap sebagai sebuah perkumpulan semula peminat yang membesar dengan lagu-lagu Padi.

Wajah-wajah matang yang menghargai muzik berkualiti Padi daripada album perdana hinggalah album Tak Hanya Diam. Rata-rata membawa kerinduan yang besar atau mungkin datang dengan nostalgia percintaan dan patah hati yang pernah menjadikan lagu-lagu Padi sebagai lagu tema kisah hidup serta cinta mereka.

Buat Padi Reborn sendiri, ini sebuah momen yang ditunggu-tunggu. Beberapa kemunculan sebelum ini merupakan persembahan bersama kumpulan muzik yang lain atas nama festival atau pesta. Namun, kali ini mereka membawakan secara tersendiri Padi Reborn itu di pentas KL Live, Kuala Lumpur.

Malah, sebelum konsert berlangsun,g anggota Padi Reborn yang terdiri daripada Fadly, Piyu, Ari, Yoyo dan Rindra juga menyatakan keresahan mereka. Bukan meragui peminat tetapi debaran mereka untuk beraksi buat kali pertama secara konsert solo di bumi Malaysia.

Meletakkan Pitahati sebagai pembuka acara merupakan satu seleksi yang tepat berdasarkan kualiti lagu, lirik dan visual persembahan. Kumpulan berasal Sungai Buloh yang dianggotai Ilham, Hidayat, Zahar, Masrin dan Yasin memberikan persembahan bertenaga selaku pembuka panggung. Menyampaikan tujuh buah lagu seperti Sahabat dan Bintang Biru Kristal Salju, Pitahati seperti selalu datang dengan pakej muzik dan visual yang sedap mata memandang dan enak telinga mendengar.

Konsert dengan nama Padi Reborn Exclusive Live In Kuala Lumpur membuka gelanggang dengan lagu Sang Penghibur yang ditenggelami dengan pekikan peminat yang menunggu bertahun untuk menyanyikan bersama lagu ini secara live.

Menyediakan 17 buah lagu buat halwa telinga Sobat Padi, Padi Reborn seolah-olah membilas kerinduan ini dengan sebuah persembahan yang cukup bertenaga dan padu. Daripada lagu pertama hingga lagu terakhir, daripada lagu rancak ke lagu patah jiwa, Padi Reborn meresap seluruh emosi penggemar mereka dalam setiap bait kata dan perjalanan instrumen.

Lengkap emosi dan suntikan nostalgia, konsert yang berlangsung selama dua jam ini cukup perasaan. Cuma kurang cukup untuk para penggemar adalah masa. Mereka berasakan konsert ini terlalu sekejap kerana setiap seorang hanyut dalam jam kenangan masing-masing.

Fadly selaku vokalis memang memukau khalayak dengan vokalnya yang cukup berelemen Sesuatu Yang Indah, salah satu lagu jaguh Padi Reborn. Diangkat sebagai salah seorang vokalis paling berbudi bahasa dan rendah hati, Fadly bukan hanya bernyanyi, malah menggerakkan rasa dan nostalgia khalayak pada setiap baris kata beriramanya.

Kemunculan dua anak muda wakil Malaysia mempamerkan skil masing-masing bukan sahaja memberi warna dalam konsert ini tetapi juga mengharmonikan suasana. Amira Syahira muncul bergaya bermain dram bersama Yoyo pada lagu Bayangkanlah. Manakala, Aizat Amdan direalisasikan impiannya dengan berduet antem patah hati Padi melalui Kasih Tak Sampai.

Jika diukur kepada kegemaran kelompok budaya pop, Padi Reborn tidak berada pada carta teratas. Namun, para peminat tahu apabila mereka hadir di konsert yang dianjurkan oleh Qew Communications ini, mereka pasti mendapat harta berkualiti dalam kotak kenangan mereka. Paduan muzik, kepadatan lirik dan keenakan bunyi menjadi satu. Kualiti ini yang sudah lama ditunggu-tunggu dalam sebuah acara konsert.

Visual yang sedap dipandang, sistem bunyi yang dikendali Nabil iaitu salah seorang jurutera bunyi terkenal Indonesia dan pengendalian cahaya oleh Yoni Wijoyo melengkapkan konsert ini pada skala antara konsert terbaik tahun ini berdasarkan tindak balas penonton.

Sewaktu lagu kegemaran ramai yang juga sebuah lagu runut bunyi iaitu Menanti Sebuah Jawaban, ruang KL Live seakan mendap dengan suara penggemar Padi Reborn. Mereka bernyanyi, menghayati dan memberi apresiasi bersama terhadap grup yang sudah hadir lebih 20 tahun lamanya ini. Seakan-akan sebuah terima kasih dari hati, mereka tidak melupakan lirik-lirik setiap lagu yang dinyanyikan walaupun grup ini vakum tujuh tahun.

Berasa terharu dan tersanjung, Padi Reborn menghargai momen di mana penonton lebih asyik menyanyi bersama dari mengangkat telefon dan merakamkan lagu. Buat mereka, momen ini agak sukar didapati di tempat lain.

Di kota Kuala Lumpur, lagu-lagu mereka lebih banyak dirakam secara peribadi dalam hati dan telinga khalayak berbanding menjadi sebuah memori telefon tangan. Apabila mendapat teriakkan ‘kami mahukan lagi’, Padi Reborn muncul dengan mempersembahkan Hitam, lagu daripada album Save My Soul. Buat Padi Reborn, momen ini jarang juga mereka dapati.

Teriakkan yang begitu kuat dan kesetiaan menunggu mereka muncul menambahkan rasa haru dalam hati mereka. Senyuman di bibir dan mata mempamerkan kepuasan rasa itu. “Dan seiring waktu yang terus berputar, aku masih terhanyut dalam mimpiku,” itu mungkin bait paling tepat untuk menggambarkan pasca rasa konsert itu berlangsung.