Berbekalkan paras tampan serta seni komunikasi yang baik, Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, laju memikat peminat dengan drama seperti Hero Seorang Cinderella dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek. Sebagai pengacara, selama dua musim dia diberi kepercayaan mengendalikan program Gema Gegar Vaganza.

Laluannya yang berpangkal dari dunia komedi, ternyata melencong ke destinasi yang lebih jauh.

“Biarpun banyak terlibat dengan projek lakonan, saya tidak pernah lupa titik permulaan saya iaitu melalui komedi.

“Sebenarnya, saya ingin turut serta dalam Muzikal Lawak Superstar namun terikat dengan penggambaran projek drama,” katanya usai pelancaran kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya adakah disebabkan pakej kacak yang dimiliki menjadi penghalang untuknya menonjol di landasan komedi, jawab graduan Diploma Komunikasi Massa (Pengiklanan) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu: “Entah, saya pun tidak tahu. Tetapi saya tidak nafikan, orang ramai kurang mengenali saya sebagai seorang pelawak.

“Namun, saya tidak pernah berhenti mengasah bakat sebagai pelawak, malah dalam drama lakonan dan kerja pengacaraan pun, saya tetap selitkan sisi humor.

“Saya ada juga melakukan persembahan komedi berdiri di pentas kecil yang penontonnya kurang daripada 100 orang kalau ada waktu terluang. Bikin orang ketawa bukan satu kerja yang mudah terutama apabila dilakukan secara solo atau berseorangan.” 


Elak kontroversi

Selain berlakon dan mengacara, Fikri juga pernah ditawarkan untuk merakamkan lagu sendiri. Dia bagaimanapun menolak tawaran tersebut kerana menyedari tidak memiliki bakat dalam seni suara.

“Kalau menyanyi suka-suka mungkin okey, tetapi tawaran yang diterima itu mahukan saya merakamkan lagu yang serius.

“Jujur saya katakan, saya memang tiada bakat menyanyi. Namun, saya memang hebat ‘melalak’ seorang diri. Lebih baik, saya fokus melakukan perkara yang saya mampu sahaja sekarang,” kongsinya.

Memasuki usia tiga tahun untuk berlari di pentas seni hiburan tanah air, Fikry menyifatkan kayuhan langkahnya masih perlahan namun stabil.

“Saya rasa setakat ini, perlahan dan stabil. Saya okey dengan pergerakan karier yang sebegitu.

“Tidak mahu terkejar-kejar namun kalau yakin sesuatu perkara itu boleh dilakukan, saya akan berusaha untuk melakukannya. Saya percayakan kerja yang berkualiti,” katanya bernada optimis.

Jarang terpalit kontroversi atau gosip murahan, Fikri tidak percaya kebergantungan terhadap perkara sedemikian mampu membuatkan seseorang anak seni kekal dalam industri dalam tempoh yang panjang.

“Saya tidak mahu orang kenal saya dengan lambakan kontroversi. Malu kepada anak dan cucu-cicit nanti. Mungkin untuk jangka masa pendek, memberi kepuasan apabila orang semua sibuk bercakap tentang kita namun untuk tempoh waktu panjang, saya tidak rasa perkara itu membantu.

“Saya bukan mahu bekerja dalam bidang ini hanya dua tiga tahun. Ini sumber rezeki saya sekarang dan kalau boleh, tidak mahu ia dikotorkan dengan perkara yang tidak sewajarnya,” ungkapnya.

Dalam masa sama, Fikri menjadikan pelawak, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad sebagai inspirasinya terus bekerja keras.

Kau Yang Pertama

Bercerita tentang projek lakonan terbaharu, Fikry bakal muncul menerusi drama Kau Yang Pertama. Sekali lagi, dia digandingkan dengan Farah Nabilah.

Selepas impak gandingan bersama Farah menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek, Fikry mengakui seronok untuk sekali lagi digandingkan dengan pelakon wanita jelita itu.

“Saya suka bekerja dengan Farah. Dia profesional dan kami selesa digandingkan bersama. Timbul juga perasaan khuatir orang akan muak apabila kami asyik bersama, namun apa yang boleh saya janjikan, Kau Yang Pertama berbeza pengisiannya berbanding drama terdahulu.

“Drama ini lebih berat. Ada usik-mengusik atau komedi ringan namun pada awal perjalanan cerita sahaja,” dedahnya.

Kau Yang Pertama arahan pengarah Hadith Omar akan mula ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 bermula 12 Ogos ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

Sebelum menutup pertemuan, sengaja lelaki berkulit sawo matang itu diusik persoalan tentang jodoh. Seperti biasa, dia mengulangi statusnya masih solo dan tidak mempunyai hubungan cinta dengan mana-mana wanita.

“Sampai sekarang masih tiada (ketawa). Insya-Allah, saya akan mula mencari teman wanita apabila berusia 27 tahun.

“Ibu pun selalu bertanya. Dia kata kalau sudah ada, lagi bagus. Kalau tanya saya wanita yang bagaimana, saya elakkan cari isteri yang bekerja satu bidang,” ulas anak kelahiran Jitra, Kedah itu menamatkan perbualan.