Konsep Teater Jalanan adalah suatu konsep seni persembahan teater yang telah lama ada dan banyak diadakan di Eropah dan Amerika. Namun di Malaysia, ianya masih asing lagi walaupun seni pemuzik jalanan atau busking semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Penganjuran Teater Jalanan ini adalah penganjuran kali kedua seumpamanya di Malaysia. Kali pertama ianya diadakan adalah pada tahun 1990 dibawah arahan Allahyarham Syed Alwi dihadapan Kompleks Sogo  yang menyaksikan Ogy selaku seorang daripada barisan pelakonnya.

Kata Ogy, penganjuran Teater Jalanan ini dibuat sebagai menyambung semula apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi. Ianya juga merupakan pentas ujian bagi pelajar- pelajar Bengkel Seni Lakonan Ogy’s Centerstage & Academy yang kini telah masuk kelompok ke-3.

“Saya melihat teater jalanan sebagai platform terbaik untuk menguji bakat lakonan para pelajar saya. Cabaran mereka bukan hanya menghafal dan memahami skrip tetapi mereka perlu memikirkan bagaimana mereka mampu untuk menarik perhatian dan minat orang ramai.

“Saya menyambung apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi dan saya harap ini akan menjadi legasi yang akan saya tinggalkan untuk industri seni tanahair suatu hari nanti,” tambah Ogy.

Selain daripada Teater Jalanan, Karnival 2 hari ini turut menganjurkan beberapa acara lain seperti ujibakat sebagai pengacara dan pelakon, Pertandingan Jurumekap Meletop dan Pencarian Lelaki Idaman Malaysia.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara-acara yang diadakan dijemput hadir pada hari Karnival ini. Untuk maklumat berkenaan ‘Street Theater Carnival’ sila hubungi talian 011-2358 6780 atau 010-445 4645. - K! ONLINE