Maka tidak hairanlah pada sambutan Aidifitri tahun ini, Instagram milik pelakon jelita, Nora Danish terus mencuri perhatian umum.

Menggayakan persalinan sedondon berwarna biru lembut bersama suami, Nedim Nazri dan tiga anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal, Mohamed Nedrin (Dre) serta Mohamed Neqayl (Ne Ne), pada pagi lebaran, padanan tersebut mendapat pujian daripada netizen.

Bukan sahaja ibu kepada dua anak itu dikatakan kekal muda dan tidak dimamah usia, malah bentuk badan persis anak dara yang milik pelakon hangat menerusi drama bersiri Imaan itu turut menjadi perdebatan ramai.

Peluang bertentang mata dengan Nora pada sebuah majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini membongkar rahsia di sebalik kelangsingan bentuk badannya selepas melahirkan anak kedua pada tahun lalu.

Nora juga tidak lokek berkongsi kisah dan rutin sambutan raya termasuk rencana seninya sepanjang tahun ini.

Kosmo!: Bagaimanakah sambutan perayaan Nora bersama keluarga?

NORA DANISH: Sambutan saya biasa sahaja, paling utama setiap kali pagi, saya dapat berkumpul bersama dengan keluarga tercinta.

Apabila semakin dewasa apatah lagi bergelar isteri dan ibu, kemeriahan sambutan perayaan lebih tertumpu untuk melihat gelagat anak-anak.

Apatah lagi tahun ini, Ne Ne telah pandai menapak. Kami lebih teruja menyaksikan Ne Ne beraya.

Adakah terdapat sebarang agenda wajib setiap kali tiba hari raya?

Pada pagi raya saya akan bersalaman dengan suami dan anak-anak di rumah kami di Kuala Lumpur. Kemudian saya wajib berkunjung ke tiga buah rumah.

Tiga buah rumah tersebut adalah rumah ibu mertua, ibu kandung dan nenek kepada Rayqal.

Biarpun telah berpisah dengan suami terdahulu, anda masih berkunjung ke rumah bekas ibu mertua?

Dia (Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah) ibu kepada Jejai akan selamanya menjadi ibu saya. Hakikat itu tidak akan berubah sampai bila-bila.

Saya berasa sangat istimewa kerana kini mempunyai tiga orang ibu. Ibu kandung saya, Salimah Talib, ibu mertua (Datin Seri Norita Datuk Sujak) dan Puan Sri Raja Noora Ashikin (bekas mertua).

Bagaimanakah anda membahagikan masa untuk berkunjung ke tiga buah rumah tersebut dan adakah Rayqal bersama anda meraikan Aidilfitri.

Kebiasaannya saya akan membiarkan Rayqal beraya bersama neneknya (Puan Sri). Kemudian pada sebelah petang saya akan ambil Rayqal untuk kami beraya bersama-sama.

Demikianlah rutin raya saya saban tahun walaupun selepas mendirikan rumah tangga dengan Nedim.

Ramai memuji penampilan anda persis anak dara. Apakah rahsianya?

Saya sebenarnya telah mendapat kembali berat badan ideal ketika zaman anak dara iaitu sekitar 50 kilogram. Saya mengamalkan diet sejak berpuasa dengan mengambil tiga biji kurma serta segelas air masak ketika bersahur.

Kemudian saya mengawal kuantiti pengambilan makanan. Saya kurang mengambil nasi. Paling penting menikmati makanan secara bersederhana.

Selepas drama bersiri Imaan, adakah terdapat sebarang projek baharu?

Buat masa ini masih tiada. Saya mempunyai beberapa perancangan untuk aktif dalam perniagaan. Sebab itu, saya kembali membuat penampilan dalam televisyen.

Anak juga semakin membesar. Suami juga mengizinkan untuk saya aktif berlakon.