Figura jelita itu mengakui, tidak mahu dimadukan apabila mengambil keputusan untuk meletakkan noktah pada zaman daranya kelak.

“Tidak sama sekali (bermadu). Saya tidak sanggup berkongsi kasih. Lebih-lebih lagi soal percintaan dalam hubungan dua jiwa.

“Apa yang saya lakonkan tidak semestinya boleh bawa ke dalam kehidupan sebenar. Saya cuma jayakan watak itu atas tuntutan kerja sahaja,” ujar Nina yang kini menjayakan watak isteri kepada Sharnaaz Ahmad yang bermain cinta dengan Ayda Jebat dalam drama Cinta Bukan Kristal di slot Akasia, TV3.

Menerusi jujur kata yang tercetus di bibirnya, hati pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar itu, sudah menolak wujudnya orang ketiga dalam perhubungan. Namun begitu, dia juga tidak tahu takdir bagaimana yang telah diaturkan Allah untuk dirinya.

“Disebabkan itu saya sentiasa berdoa agar tidak tergolong dalam golongan orang yang bermadu atau dimadukan. Saya tak sanggup kerana saya cemburu orangnya,” ujar Nina sambil melentur tawa di bibir.

Penat dianiaya

Lunak bicara Nina, seindah wajah yang dimilikinya, anak kelahiran Brunei itu juga mencipta kelompok peminat dalam diam berkat bakat yang mengalir deras dalam dirinya.

Dia menjadi pelakon wanita yang tidak perlu populariti hebat untuk membuktikan kemampuan luar biasanya di skrin televisyen.

Impak membawa watak isteri dianiaya suami dalam drama Andainya Takdir dan kini Cinta Bukan Kristal menjadi bukti Nina bukan sekadar pelakon yang bersandar pada rupa semata-mata.

Ironinya, Nina mengakui cukup penat seringkali disuapkan dengan watak sebegitu (wanita teraniaya) dalam drama.

Watak dimadukan, dipukul, bahkan didera suami, sering kali menjadi ‘makanan’ Nina.

“Jujur kata, memang saya penat. Bayangkan sejak berlakon Terlarang Sudah Rinduku sehingga drama terbaharu, Isteri Dalam Sangkar, saya asyik bawa watak isteri yang dianiaya.

“Malah, untuk Isteri Dalam Sangkar, saya terpaksa menjayakan watak menangis dan dipukul dari pagi sampai ke malam. Sampaikan emosi saya itu terbawa-bawa di luar set. Takut juga lama-lama menjadi depresi,” luah Nina mengenai drama 30 episod, siaran HyppTV yang bakal disiarkan pada bulan Oktober nanti.

Sedar watak sebegitu menjadi lubuk rezeki buat dirinya, Nina bagaimanapun terpaksa ‘berehat’ daripada menerima tawaran yang sama di kemudian hari.

“Memang ada yang komen di Instagram mengenai watak aniaya yang sering dibawa saya. Mereka kata asyik bawa watak kena dera saja, tetapi nak buat macam mana tawaran sebegitu yang sering saya dapat dan barangkali juga ia tuntutan daripada stesen TV yang melihat kemampuan saya menerusi watak sedemikian. Bagaimanapun, walaupun sering diberi watak dianiaya tetapi saya mengolah wataknya agak terlihat berbeza,” jelas Nina yang mengidam watak cacat selepas ini.

Elak kontroversi

Menggali situasi hatinya mengenai populariti dan anugerah yang sukar untuk dikecapinya, Nina sempat melepaskan nafas kecewa sambil berhati-hati memilih ungkapan yang sesuai.

Ini jawapan Nina: “Banyak kali juga tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Popular dan Terbaik, tetapi belum ada rezeki. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan apa yang diperolehi sekarang. Pada saya, jika ikhlas dalam pekerjaan dan sentiasa memberikan yang terbaik, mungkin satu hari nanti adalah rezeki anugerah atau sebagainya.”

Pada masa sama, Nina tidak mahu menjual nama dengan terkait dalam kancah kontroversi. Cukuplah kelibatnya dalam industri seni pada awal dahulu pernah berbekas titik hitam dalam sejarah hidupnya.

“Saya akui sebelum ini pernah terkait kontroversi. Memang tidak tenang walaupun kita berdiam diri dan tidak melatah dengan kontroversi yang melanda.

“Jadi, tika ini saya cuba sedaya-upaya untuk elak daripada melakukan kontroversi dan hanya fokus kerjaya,” ujar Nina yang pernah terpalit kontroversi putus tunang dan mengubah penampilannya sebelum ini.

Cukup berbicara tentang karier, Nina juga berkongsi mengenai perniagaan puding dan kerepek peria goreng yang menjadi sumber rezeki tambahannya.

“Sebelum ini saya hanya berniaga secara online, namun selepas sertai booth di sebuah acara di Kuantan, Pahang, baru saya rasa seronok berniaga secara langsung,” ujarnya yang mengakui seorang yang sangat minat memasak selain memiliki sikap sayang kepada haiwan peliharaan, kucing.