Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar, 27, menerusi InstaStory Instagramnya, telah memuat naik status berbaur amaran terhadap wanita tersebut.

Menurut Nina, dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri selama ini kerana menumpukan perhatian terhadap keluarga dan kerjaya.

"Jangan macam-macam. Ingat, aku mempunyai kesemua bukti yang tidak pernah dikongsikan kepada umum. Aku hanya membiarkan fitnah ini beberapa ketika kerana jadual yang sibuk.

"Aku memantau dan kumpul dahulu. Sekarang kau senyum dan terus berlakon kononnya menjadi mangsa. Kau jaga mulut kau perempuan tua. Berhenti sebarkan fitnah," katanya.

Pada Ahad lalu, status hubungan antara Nina dan suami yang juga kru produksi Azlan Adzanan akhirnya terungkai selepas pasangan itu melangsungkan majlis resepsi di Forest Valley Hall, Cheras, Kuala Lumpur.

Mereka juga telah empat bulan mendirikan rumah tangga selepas masing-masing disatukan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat sekitar April lalu.

Pada pertengahan Mac lalu, Nina dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga antara seorang pramugari dan penolong pengarah sebuah drama.

Pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi yang berasal dari Brunei itu tampil membuat kenyataan dengan menegaskan, dia bukan seorang perampas dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah tersebut. - K! ONLINE