Bagi penyanyi baharu, Wany Hasrita, saat dia nekad menjadikan bakat suara yang ada pada dirinya sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga, tujuannya hanya satu iaitu demi ibu tercinta, Norita Abdul Rahman.

Siapa sangka bermula dengan ketakutan setiap kali dipanggil oleh syarikat rakaman FMC untuk membuat persembahan, pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah kini sudah jauh melangkah ke hadapan apabila namanya diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) menerusi lagu Menahan Rindu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

“Saya suka menyanyi, namun tidak pernah bermimpi untuk jadikan ia sebagai satu profesion serius kerana sering tidak yakin diri apabila berhadapan dengan orang ramai. Pada peringkat awal mengikat kontrak dengan FMC, saya akan tertekan apabila diberitahu ada tawaran persembahan.

“Namun benarlah seperti yang orang tua-tua katakan, tidak kenal maka tidak cinta. Apabila sudah sering muncul di khalayak ramai, perasaan takut itu semakin berkurangan dan saya juga lebih tenang untuk bekerja,” katanya ketika ditemui selepas tamat peringkat separuh akhir Muzik-Muzik.

Tambah Wany, dia sangat bersyukur kerana keputusannya untuk memandang serius bidang nyanyian telah banyak membantu menaik taraf kehidupan dia dan ibunya meskipun baru dua tahun bergelar anak seni.

Setakat ini, dia sudah berjaya mencari kediaman lebih selesa untuk mereka berdua berbanding tinggal di rumah terbengkalai yang tidak dapat disiapkan proses ubah suai apabila ibunya diberhentikan kerja kerana kemerosotan industri cari gali minyak.

Sakit

Berbalik kepada kisah kejayaannya mara ke peringkat akhir AJL32 yang bakal berlangsung tahun depan, Wany berkata, saat mendengar namanya diumumkan, dia kehilangan kata-kata kerana sedar bahawa pada malam itu prestasi nyanyiannya tidak begitu baik.

Kata graduan Sains Perubatan Management & Science Universiti (MSU) itu, beberapa hari sebelum malam pertandingan peringkat separuh akhir, tekaknya didapati bengkak dan mengalami sedikit pendarahan sehingga mengganggu fokusnya untuk berlatih.

Sewaktu sesi raptai terakhir, Wany langsung tidak dapat mengeluarkan suara kerana terlalu gementar keadaan kesihatannya akan menyebabkan persembahannya terjejas dan gagal menyanyi dengan baik.

“Saya menangis selepas sesi raptai itu kerana saya hilang semua keyakinan untuk bertanding. Saya beritahu ibu tidak boleh menyanyi pada malam itu kerana bimbang ia akan jadi persembahan yang teruk.

“Namun, Allah itu maha berkuasa. Saya teruskan juga perjuangan dan walaupun nada suara saya sedikit lari, namun berkat doa ibu dan juga semangat daripada peminat yang datang bersorak, ada rezeki saya untuk bertanding dalam AJL32,” katanya lagi.

Masih belum memikirkan apakah perancangan yang perlu dibuat untuk pentas akhir kelak, wanita berusia 24 tahun itu berkata, apa yang penting baginya ialah untuk memberikan yang terbaik dan setakat termampu.

“Saya layak ke pentas berprestij seperti AJL buat pertama kali dengan single serta percubaan pertama, nikmat itu sudah cukup besar buat saya.

“Bagi persediaan peringkat akhir, saya cuma harap diberikan kesihatan yang baik dan mampu membuat persembahan yang memuaskan hati saya, juri dan penonton,” tuturnya penuh harapan.

Tangguh

Menyentuh sedikit tentang perancangan masa depannya, Wany berkata, hasratnya untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana masih membara dan dia sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak membiarkan cita-citanya itu berkubur.

Bukan sengaja memberi alasan sibuk dengan jadual kerja, anak tunggal ini berkata, dia sebenarnya mahu mendahulukan keperluan ibu sebelum berfikir untuk dirinya sendiri.

Seboleh-bolehnya, dia mahu membelikan ibunya sebuah kediaman sebelum melaburkan wang simpanan untuk membiayai kos pengajian pada peringkat sarjana yang agak tinggi.

Atas sebab sama juga, Wany memilih untuk tidak meneruskan pengajian menjadi seorang doktor perubatan kerana itu akan menuntut masa selama lima tahun pengajian, sekali gus akan menjadikan kerjaya seninya terhenti seketika.

“Saya sedar menyanyi ini bukan selama-lamanya dan akan sampai masa, saya perlu mempunyai pekerjaan tetap bagi menanggung kehidupan pada hari tua. Setakat ini, menjadi seorang pensyarah merupakan pilihan terbaik buat saya kerana tempoh pengajiannya hanya memakan masa setahun berbanding menjadi doktor perubatan.

“Cuma buat masa sekarang, saya mahu mengukuhkan kewangan dahulu. Saya mahu membeli sebuah rumah untuk ibu dan barulah akan cari masa untuk sambung belajar.

“Insya-Allah, saya akan kotakan janji saya pada diri dan juga ibu untuk memiliki ijazah sarjana,” luahnya menutup perbualan.

Pernah tertekan setiap kali menerima tawaran menyanyi, Wany Hasrita seakan tidak percaya bahawa hobinya pada waktu lapang kini menjadi sumber rezeki yang paling besar dalam hidup.