Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada impiannya yang kini dalam pembikinan.

Menurutnya, ilham menggunakan suaranya sebagai terjemahan ayat suci al-Quran timbul selepas mendapati sukar untuk mendapatkan bahan ilimiah sedemikian di pasaran.

"Semakin lama membaca al-Quran, saya tidak mahu sekadar membaca tanpa memahami isi kandungan al-Quran. Saya gemar membaca, mendengar bacaan dan memahami isi kandungan al-Quran.

"Malangnya, pencarian di YouTube sukar untuk menemui terjemahan audio dalam bahasa Melayu. Kebanyakannya dalam bahasa Inggeris dan ada kalanya Urdu.

"Asalnya terjemahan ini saya buat untuk diri sendiri. Tetapi selepas dikongsi ia mendapat sambutan baik. Jadi saya ingin merakamkan suara untuk membaca terjemahan al-Quran," katanya kepada Kosmo! Online.

Neelofa berkata, untuk peringkat awal, rakaman akan melibatkan terjemahan surah pendek.

Katanya, secara berperingkat, dia ingin merakamkan terjemahan untuk seluruh isi kandungan al-Quran.

"Pada masa depan projek ini mungkin boleh dikongsikan bersama stesen televisyen atau aplikasi Islamik untuk digunakan.

"Saya mahu rakamkan terjemahan untuk kesemua juzuk bermula dengan surah pendek, doa-doa pilihan kemudian seluruh al-Quran," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Neelofa akan berangkat menunaikan ibadah haji buat kali kedua pada 4 Ogos depan bersama keluarga.

Katanya, sekiranya dikurniakan rezeki dia ingin menunaikan haji setiap tahun dan kerap berkunjung ke tanah suci Mekah.

"Meskipun telah banyak kali menjadi tetamu Allah saya teruja setiap kali ke sana. Niat saya adalah untuk memperbaiki hubungan dengan Allah," katanya. - K! ONLINE