Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, sebaliknya masih berada di Malaysia dan akan berlepas ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7.30 malam ini.

Perkara tersebut telah disahkan oleh pihak pengurusan Neelofa kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, menerusi perkongsian Insta Story Instagramnya, Neelofa mengakui gagal untuk ke terbang ke Jeddah seperti dijadualkan pada 4 Ogos lalu akibat masalah visa.

Dalam perkongsian yang sama, Neelofa turut menyatakan penghargaan terhadap beberapa pihak termasuk Kedutaan Arab Saudi kerana membantu dalam pengurusan mendapatkan visa.

"Saya pasti ramai yang tidak tahu saya gagal meneruskan penerbangan ke Jeddah akibat masalah  visa. Kepada semua jemaah haji, saya menasihatkan anda supaya berhati-hati memilih wakil agensi masing-masing.

"Urusan untuk mendapatkan visa sangat rumit dan kita perlu mendapatkan maklumat secukupnya daripada mereka yang berpengalaman. Akhirnya dengan bantuan ramai pihak termasuk kedutaan, saya kini memperolehi visa. Terima kasih," katanya.

Semalam Kosmo! Online melaporkan seramai 26 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz setelah kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan mereka untuk mengerjakan haji pada musim ini.

Kesemua mereka dilaporkan akan dihantar pulang ke Malaysia hari ini.

Sementara itu, Neelofa sepatutnya berlepas ke Jeddah pada 4 Ogos lalu, namun terkandas di KLIA akibat masalah visa. - K! ONLINE