Ada segelintir pihak mendakwa Nazim kini dalam keadaan tertekan. Tidak kurang pula yang mengatakan, hubungan Nazim dan Bella berada dalam keadaan kurang baik selepas perceraian.

Nazim ketika dihubungi Kosmo! berkata, dakwaan yang dikeluarkan menerusi ruangan pojok berkenaan tidak benar sama sekali.

Jelas lelaki berusia 35 tahun itu, dia kini lebih tenang dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

KOSMO!: Nazim, benarkah dakwaan yang tersiar dalam ruangan pojok sebuah akhbar mingguan baru-baru mengatakan anda sedang berdepan tekanan perasaan akibat perceraian dengan Bella?

NAZIM: Sejujurnya, dakwaan-dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya kini berada dalam keadaan tenang dan sihat.

Bagaimana gosip yang mengatakan anda sedang tertekan boleh bertebaran?

Peminat atau netizen suka membuat andaian menerusi apa yang mereka baca dan lihat. Kadangkala, pemerhatian tersebut dilakukan dalam skop yang kecil, walhal terdapat banyak hikmah jika dilihat dari sudut pandang yang lebih positif.

Benarkah anda tertekan selepas bercerai?

Siapa yang tidak sedih apabila bercerai. Namun, sampai bila? Apabila dilihat kembali, kita perlu lebih mensyukuri nikmat-nikmat Tuhan yang ada depan mata. Biarpun melalui hari-hari yang perit sebelum ini, namun saya bersyukur kerana masih bernafas dan dipanjangkan usia oleh Allah.

Benarkah dakwaan yang mengatakan anda dan Bella kini bermasam muka?

Mengenai hubungan selepas bercerai, kami tidak bermasam muka, apatah lagi bergaduh. Andai kata kami bertemu dalam mana-mana majlis, kami akan bertegur.

Bella sudah pun mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya bernama Arif pada Januari lalu. Bagaimanakah perasaan anda apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut?

Saya tumpang gembira apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut. Bella akhirnya bertemu dengan lelaki yang akan menjaganya.

Bagaimanakah perasaan anda apabila bekas isteri terlebih dahulu bertemu jodoh?

Cepat atau lambat, semuanya berkaitan jodoh. Perkahwinan akan tetap berlaku apabila sudah sampai masanya. Saya tidak boleh mempersoalkan soal cepat atau lambat jodoh sesiapa pun. Saya ada bertemu Arif bersama Bella baru-baru ini. Jujur, saya menyenangi Arif dan percaya dia akan menjadi suami yang baik buat bekas isteri saya.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Tidak lama lagi, saya bakal menjalani penggambaran sebuah telefilem. Menerusi naskhah tersebut saya akan memegang watak seorang pesakit disleksia.

Disebabkan saya tidak pernah membawakan watak sebegitu, saya bertemu dengan pakar psikologi untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit berkenaan.

Saya berharap agar usaha ini dapat membuahkan hasil dan membantu sepanjang sesi penggambaran kelak.